SHAH ALAM, 11 OGOS: Gejala buli yang semakin menjadi-jadi di sekolah kian meresahkan ibu bapa yang menuntut tindakan tegas tanpa kompromi.
Bagi suri rumah, Noor Azleza Mohd Noor, 44, pihak sekolah tidak sepatutya berdiam diri demi menjaga imej. Sebaliknya, pelaku perlu dikenakan hukuman setimpal.
"Sekolah tak boleh buat diam bila ada kes buli. Saya pernah mengadu anak ditolak, tapi tiada tindakan diambil.

"Pelaku patut dibuang sekolah dan polis kena ambil tindakan supaya budak-budak takut," katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar peka terhadap perubahan tingkah laku anak kerana ada yang takut menceritakan kejadian sebenar.
Pandangan sama disuarakan pesara sektor swasta Suhaizad Sukor, 55, yang menegaskan ibu bapa tidak boleh memandang ringan aduan anak.
"Buli memang sudah lama berlaku, tapi sekarang makin teruk sampai membunuh.

"Kalau anak cerita, jangan ambil mudah. Ambil tindakan atau keluarkan anak dari sekolah jika perlu," katanya.
Bagi pekerja swasta Abdul Munir Zuhari, 31, antara punca pelaku berani ialah layanan istimewa terhadap segelintir mereka yang dianggap 'tidak boleh disentuh'.
"Kadang-kadang buli berlaku dalam kalangan anak kenamaan, sebab itu mereka berani. Isu ini pula makin dipandang ringan," katanya.

Nur Madihah Juha, 36, seorang suri rumah pula berpendapat peningkatan kes buli ini juga disebabkan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk memantau perkembangan anak-anak.
"Pengaruh rakan sebaya, penggunaan gajet secara berlebihan serta pendedahan kepada kandungan negatif di media sosial juga menjadi punca mereka membuli,"katanya.
Hukuman tegas
Bagi mengatasi isu ini, ibu bapa mencadangkan hukuman tegas dilaksanakan tanpa mengira latar belakang pelaku.
Antara cadangan dikemukakan Nur Madihah dan Azleza termasuk menggantung atau membuang pelajar yang terbukti bersalah serta melibatkan pihak polis untuk memberi kesedaran dan rasa takut kepada pelaku.

"Guru kena peka apabila ada kejadian buli, maklum kepada ibu bapa dan segera buat laporan polis," ujar Madihah.
Munir menegaskan guru perlu memainkan peranan aktif melalui sesi kaunseling kepada pelajar, sementara ibu bapa digesa bersikap terbuka dan kerap bertanya hal anak supaya mereka berani berkongsi masalah.