ad

Pelancong China dominasi kedatangan ke Selangor, pelancongan pendidikan jadi tumpuan

9 Ogos 2025, 8:06 AM
Pelancong China dominasi kedatangan ke Selangor, pelancongan pendidikan jadi tumpuan
Pelancong China dominasi kedatangan ke Selangor, pelancongan pendidikan jadi tumpuan
Pelancong China dominasi kedatangan ke Selangor, pelancongan pendidikan jadi tumpuan
Pelancong China dominasi kedatangan ke Selangor, pelancongan pendidikan jadi tumpuan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pelancong dari China terus mendominasi kedatangan antarabangsa ke Selangor dengan jumlah ketibaan 95,762 orang sepanjang Januari hingga Mac lalu, peningkatan 16.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling memberitahu aktiviti pelancongan pendidikan dan penjelajahan menjadi pilihan utama mereka ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling

“Pelancongan pendidikan menggabungkan pembelajaran berasaskan penyelidikan dengan pengalaman praktikal melalui lawatan lapangan dan interaksi bertema, sekali gus menjadikan perjalanan bukan sahaja membuka minda tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran,” jelasnya kepada Media Selangor.

Tambah beliau, Tourism Selangor giat bekerjasama dengan pelbagai institusi bagi mempromosi nilai pendidikan dan kelestarian antaranya Eco Farm Buah Naga Sepang yang menawarkan pakej ‘pengajaran pertanian dan pengalaman DIY’.

Antara destinasi pelancongan pendidikan popular di Selangor ialah:

  • Taman Geologi Kebangsaan Hulu Langat

  • Perkampungan Budaya Mah Meri , Pulau Carey

  • Taman Hutan Selangor - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

EXCO Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah merasmikan Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Yee Ling berkata purata tempoh pelancongan pendidikan adalah lebih dua minggu, sekali gus memberi kesan positif kepada sektor penginapan, makanan dan pengangkutan.

Beliau turut menegaskan, bagi memacu pelancongan negara, kerjasama antara negeri amat penting kerana Malaysia berdepan saingan sengit daripada destinasi serantau seperti Singapura dan Thailand.

“Kami merancang bekerjasama dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang bagi membangunkan pakej pelancongan rentas negeri untuk menjadikan Malaysia destinasi utama pelancong Asia,” katanya.

Selain pelancong China, beberapa negara jiran turut mencatat angka kedatangan memberangsangkan, antaranya:

  • Singapura: 61,100 pelancong (12 peratus)

  • Indonesia: 30,172 pelancong (6 peratus)

  • Jepun: 25,333 pelancong (5 peratus)

  • India: 22,300 pelancong (5 peratus)

Sky Mirror di Kuala Selangor menjadi antara destinasi pelancongan popular sempena Tahun Melawat Selangor 2025. Foto Arkib MEDIA SELANGOR

Beliau menambah, walaupun jumlah pelancong antarabangsa mencatat sedikit penurunan sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, Selangor masih mengekalkan prestasi stabil dan terus memecah rekod lima tahun berturut-turut.

Data menunjukkan Januari mencatat jumlah pelancong tertinggi iaitu 168,480 orang, manakala Mac merekodkan penurunan kepada 159,933 orang dengan kadar pengurangan bulanan sebanyak 5.1 peratus.

Tourism Selangor mengambil bahagian dalam Pameran Matta di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada 19 April 2025, bagi mempromosikan destinasi menarik sempena Tahun Melawat Selangor 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Tourism Selangor akan meneruskan pelbagai kempen dan program promosi dalam serta luar negara menjelang separuh kedua tahun ini sekali gus memastikan sasaran TMS2025 tercapai.

“Acara utama seperti Selangor Marathon 2025, Raja Muda International Regatta, Anugerah Industri Pelancongan Selangor 2025 dan Keretapi Sarong 2025 akan menjadi tarikan utama pelancong,” ujarnya.

Turut dilancarkan adalah video promosi, lagu kempen ‘Selangor Kan Ada’, kempen ‘SONYlah Selangor!’, siri TV ‘Ho Chak!’ bersama 8TV serta Video Med Travel Selangor dan kempen Liburan Sehat di Selangor.

Dengan sasaran mencapai 8 juta pelancong dan transaksi RM11.7 bilion, Selangor bertekad mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di Malaysia.

Kumpulan agen pelancongan dari Thailand di bawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.