SHAH ALAM, 9 Ogos: Kelemahan pelaksanaan undang-undang menjadi punca utama kes penderaan haiwan terus berulang.
Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman lebih tegas supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat sekali gus mengurangkan kes penderaan haiwan.
"Polis perlu tegas supaya orang takut melakukan kesalahan. Contohnya, letakkan papan tanda di kawasan flat atau pangsapuri dengan mesej jelas bahawa mendera haiwan adalah satu jenayah," katanya kepada Media Selangor hari ini.
Khalid menambah, penganiayaan terhadap haiwan juga berpunca daripada kurangnya rasa empati dan ihsan dalam kalangan masyarakat termasuk pihak berkuasa.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awal kepada kanak-kanak mengenai kasih sayang dan tanggungjawab terhadap haiwan sejak di rumah dan sekolah untuk membentuk generasi prihatin.
"Semua pihak perlu bekerjasama termasuk media untuk memainkan peranan penting, seperti menyiarkan iklan 'mendera haiwan adalah jenayah' serta program yang menggalakkan cintakan haiwan supaya masyarakat lebih peka dan takut melakukan penderaan," ujarnya.
Khalid turut menegaskan perlunya kerjasama erat antara polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bersama masyarakat bagi membanteras kekejaman terhadap haiwan.
Selain itu, beliau mencadangkan pelaksanaan sistem permit bagi pemilik kucing yang mewajibkan mikrocip dan vaksinasi bagi memudahkan pemantauan serta mengawal populasi kucing terbiar.
"Populasi kucing terbiar yang tinggi menjadi salah satu punca utama berlakunya kes penderaan haiwan," katanya.
Baru-baru ini, kes penderaan kucing di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang, tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seekor kucing diperlakukan secara kejam oleh seorang kanak-kanak.
Kejadian yang dipercayai berlaku di lokasi sama dengan insiden penderaan sebelum ini, mencetuskan kemarahan orang ramai dan mengundang gesaan supaya tindakan tegas diambil terhadap pelaku.