SHAH ALAM, 9 OGOS: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu kerajaan mempercepatkan kawal selia terhadap penjualan barangan elektrik di platform e-dagang bagi menjamin keselamatan pengguna.
Menurut Bendahari Agungnya Nur Asyikin Aminuddin, sejak 2018 pihaknya secara konsisten menyuarakan kebimbangan berhubung trend penipuan dalam talian yang kian meningkat, namun sehingga kini kawal selia masih belum dilaksanakan secara menyeluruh.
“Semua produk elektrik sepatutnya tertakluk kepada piawaian keselamatan, tidak kira dijual secara fizikal atau atas talian, betapa pentingnya keselamatan SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Platform e-dagang juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya membenarkan penjualan barangan yang tidak mendapat kelulusan keselamatan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Beliau berkata FOMCA turut menggunakan sesi libat urus yang diadakan tiga kali setahun bersama pihak berkuasa, industri dan NGO pengguna untuk terus mendesak penambahbaikan dasar dalam isu tersebut.
Penipuan dalam talian
FOMCA turut menerima banyak aduan berkaitan penipuan dalam talian melibatkan produk elektrik yang didakwa mempunyai cop keselamatan, namun sebenarnya tidak.
“Ada pengguna tertipu dengan barangan palsu yang dipromosikan seolah-olah sah, apabila terima produk itu tiada label keselematan seperti dijanjikan.
“Malah ada juga kes melibatkan pempengaruh yang secara tidak bertanggungjawab memasarkan barangan tidak mendapat kelulusan keselamatan,” jelas Nur Asyikin.
Beliau berkata kebergantungan pengguna kepada maklumat seperti gambar menarik dan testimoni semata-mata menyebabkan mereka alpa terhadap aspek keselamatan teknikal produk.
Jelasnya, aduan sebegini akan disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya bagi melindungi hak pengguna.
Barang murah, abai keselamatan
Mengulas lanjut, Nur Asyikin berkata tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan label SIRIM-ST masih sederhana, sekali gus membuka ruang kepada lambakan produk elektrik tidak selamat di pasaran.
“Ramai pengguna lebih mementingkan harga murah berbanding aspek keselamatan, walhal risiko kepada harta benda dan nyawa amat tinggi jika menggunakan peralatan tidak sah,” katanya.
Menurutnya, pengguna perlu mengimbangi antara keperluan menjimatkan wang dan keutamaan keselamatan, terutama dalam konteks barangan elektrik yang tidak mengikut piawaian.
“Saya harap pengguna lebih berwaspada, beli barangan elektrik bercop SIRIM-ST sahaja.
“Jika ada aduan atau kekeliruan berkenaan keselamatan produk yang anda beli, boleh terus rujuk kepada pihak FOMCA melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC),” katanya lagi.