ad

Kebiadaban Zionis: Semakin banyak negara kecam Israel duduki Gaza

9 Ogos 2025, 3:02 AM
Kebiadaban Zionis: Semakin banyak negara kecam Israel duduki Gaza
Kebiadaban Zionis: Semakin banyak negara kecam Israel duduki Gaza
Kebiadaban Zionis: Semakin banyak negara kecam Israel duduki Gaza
Kebiadaban Zionis: Semakin banyak negara kecam Israel duduki Gaza

NEW DELHI, 9 OGOS: Pakistan mengecam rancangan Israel untuk menduduki Gaza sebagai “tindakan yang memburukkan keadaan” sambil menyuarakan kebimbangan global terhadap ketenteraan rejim Zionis yang bertujuan menghapuskan penduduk Palestin.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kabinet Israel meluluskan rancangan mengambil alih secara haram dan tidak sah Bandar Gaza.

"Ini merupakan satu peningkatan berbahaya dalam perang yang sudah pun bersifat bencana terhadap rakyat Palestin.

“Perluasan operasi ketenteraan ini hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada dan menjejaskan sebarang prospek keamanan di rantau ini,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif menerusi platform media sosial X pada Jumaat.

Rancangan pendudukan Israel serta kempen pembunuhan beramai-ramai yang berterusan mencetuskan reaksi keras di seluruh dunia.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengutus surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Bin Farhan al-Saud untuk mengadakan mesyuarat negara anggota bagi membincangkan niat rejim Zionis untuk menduduki Gaza secara kekal.

“Saya dengan ini secara rasmi memohon agar satu sesi tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar diadakan secepat mungkin di ibu pejabat Sekretariat Agung pertubuhan di Jeddah,” tulis Araghchi.

Arab Saudi meningkatkan usaha diplomatik untuk menghentikan bencana kemanusiaan yang berlaku di sempadan Mesir-Gaza “akibat amalan kejam pendudukan Israel.”

Putera Faisal membincangkan situasi itu melalui panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty, Turkiye, Hakan Fidan serta Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas dan menekankan keperluan menghentikan serangan Israel serta tindakan kebuluran terhadap penduduk Gaza.

“Kerajaan Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Israel untuk menduduki Gaza dan menentang sepenuhnya kegigihan mereka dalam melakukan jenayah kebuluran, amalan kejam dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin,” kata Kementerian Luar Saudi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Maldives menyeru supaya semua jenayah Israel di Palestin dibawa ke muka pengadilan.

“Keputusan ini (pendudukan Gaza) bukan sahaja menambah penderitaan di wilayah Palestin yang diduduki, malah menjadi ancaman kepada keamanan yang berkekalan dan kestabilan serantau,” kata Presiden Maldives Mohamed Muizzu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan pendudukan Israel dan menggesa akses kemanusiaan tanpa halangan ke seluruh Gaza.

China pula menggesa Israel “segera menghentikan tindakan berbahaya itu,” menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.

“Gaza adalah milik rakyat Palestin dan merupakan sebahagian tidak terpisahkan daripada wilayah Palestin,” kata jurucakap kementerian berkenaan pada Jumaat.

Turkiye menyatakan bahawa keputusan Israel untuk meluaskan operasi ketenteraannya di Gaza menandakan fasa baharu dalam “dasar peluasan wilayah dan pembunuhan beramai-ramai” di rantau itu.

“Israel sebagai pendudukan mesti segera membatalkan rancangan perang, bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza, dan memulakan rundingan ke arah penyelesaian dua negara,” kata Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan.

“Kami menggesa masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab untuk menghalang pelaksanaan rancangan ini, yang bertujuan menjadikan Gaza tidak dapat didiami dan mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah mereka sendiri.

"Kami juga menggesa Majlis Keselamatan PBB meluluskan langkah mengikat bagi menghentikan tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.