SHAH ALAM, 8 OGOS: Polis menahan tujuh lelaki kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini dengan video kejadian turut tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin, berkata mereka berusia antara 21 hingga 31 tahun ditahan sekitar 11.30 malam semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, dengan semuanya mengaku terbabit pergaduhan itu, lapor portal Berita Harian.
Beliau berkata, rusuhan berlaku ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 membabitkan dua pasukan iaitu Padang Tembak FC dan Jenderata FC.
Katanya, kekasaran mula berlaku separuh masa kedua apabila seorang pemain Padang Tembak FC melakukan terjahan keras terhadap pemain Jenderata FC yang seterusnya mencetuskan pertelingkahan antara dua pasukan.
"Situasi menjadi tegang dan tidak terkawal apabila ada pemain ditumbuk, seterusnya mencetus pergaduhan fizikal besar-besaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan.
"Dalam kekecohan itu, dua penonton lelaki dipercayai penyokong pasukan memanjat pagar dan memasuki padang dengan seorang daripadanya cuba menendang pemain, namun dibalas sehingga mencetuskan pergelutan antara pemain dan penonton," katanya.
Bakri berkata, keadaan semakin serius apabila pengurus pasukan menyerang pengadil tengah dengan satu tumbukan di bahagian rusuk.
"Semasa cuba meleraikan pergaduhan, pengadil tengah itu terjatuh ke atas padang dan beberapa pemain lawan turut menyerang pengadil lain secara fizikal," katanya.
Menurutnya, semua suspek membabitkan pengurus pasukan serta pemain kedua-dua pasukan yang terbabit kejadian itu dikesan berdasarkan rakaman video dan nombor jersi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman sehingga Ahad ini.