ad

AKPS: 21 warga asing cuba masuk melalui KLIA diusir, seorang ditahan

8 Ogos 2025, 2:16 PM
AKPS: 21 warga asing cuba masuk melalui KLIA diusir, seorang ditahan

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Sebanyak 21 warga asing ditolak kemasukan ke Malaysia manakala seorang lagi ditahan selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan kemasukan dan keluar negara secara tidak sah menggunakan tiga modus operandi berbeza di Terminal 2 (T2).

Dalam kenyataan malam ini, AKPS memaklumkan kesemua cubaan itu berjaya digagalkan Pasukan Pemantau AKPS KLIA T2 dalam pemantauan rutin semalam.

AKPS memberitahu kes pertama melibatkan enam warga Kemboja termasuk seorang individu dipercayai pembawa, yang mendakwa datang ke negara ini untuk mendapatkan suaka politik namun gagal mengemukakan dokumen sokongan seperti ditetapkan.

“Sementara itu, tiga warga Indonesia yang menyalahgunakan kemudahan visa kemasukan tunggal selama 90 hari, tidak mempunyai bukti tempahan penginapan, tiket pulang atau alasan kukuh tujuan kemasukan dan disyaki mahu bekerja secara tidak sah.

“Dalam kes ketiga, seorang warga China ditahan selepas dikesan menggunakan pasport dengan endorsmen mencurigakan bagi tempoh Disember 2024 hingga Ogos 2025. Siasatan awal mendapati individu itu memperoleh cap keluar-masuk secara tidak sah menggunakan kaedah ‘flying’ dan menyalahgunakan dokumen perjalanan,” menurut AKPS.

Warga China itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan pemalsuan dokumen dan cubaan keluar tanpa prosedur sah.

Selain itu, AKPS memaklumkan tujuh warga India dan lima warga Pakistan turut digagalkan kemasukan apabila cuba melepasi kaunter pemeriksaan imigresen tanpa pemeriksaan sah serta dipercayai menyusup bersama penumpang lain.

Kesemua individu berkenaan dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan dihantar pulang ke negara asal melalui penerbangan terawal.

Agensi itu menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan integriti kawalan sempadan negara sentiasa terpelihara dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan masuk atau keluar secara tidak sah.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.