ad

SUKMA Selangor: Kerja naik taraf infrastruktur sukan siap Mac tahun depan

8 Ogos 2025, 1:09 PM
SUKMA Selangor: Kerja naik taraf infrastruktur sukan siap Mac tahun depan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerja menaik taraf infrastruktur sukan termasuk stadium, dewan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13, dijangka selesai Mac tahun depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata setakat ini status persiapan gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 telah melebihi 50 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Ada sesetengah tempat kejohanan ditutup seperti pusat akuatik untuk dinaik taraf. Malah, penyewa di situ juga dikecualikan bayaran dan diberikan tempat baharu untuk seketika.

“Selain itu, di peringkat PBT juga telah menggerakkan proses selenggara. Menjelang Mac tahun depan, insya-Allah Selangor bersedia untuk SUKMA 2026,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada 22 Julai, Dato' Menteri Besar berkata SUKMA Selangor 2026 akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.

Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, upacara pembukaan temasya dwitahunan itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sementara itu, mengenai cadangan mempertandingkan acara bola pikel, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026 memaklumkan belum tiba masanya sukan itu dipertandingkan.

“Selangor mempunyai kelebihan dan bersedia untuk mempertanding sukan itu, tetapi negeri lain tiada kemudahan itu.

“Selain itu, bermula tahun depan kita akan laksana program pembangunan akar umbi. Kita mula diperingkat akar umbi kerana walaupun sukan ini dapat sambutan tetapi ia dimainkan golongan dewasa bukan kanak-kanak.

“Dengan adanya program pembangunan ini, akan beri pendedahan dan boleh menilai untuk bawa sukan ini ke SUKMA atau kejohanan lain. Kita sedang rancang dan jangka dilaksana tahun depan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.