SEPANG, 10 OGOS: Usaha berterusan Kerajaan Negeri memartabat masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai aspek menunjukkan hasil positif sekali gus memberi impak yang signifikan kepada komuniti setempat.
Batin Kampung Orang Asli (KOA) Jambu, Bakok dan Kelinsing, Sepang, Rosmaini Baat berkata antaranya termasuk pewartaan tanah yang melindungi tanah Orang Asli daripada diceroboh dan kekal menjadi hak milik mereka.
Selain itu, kira-kira 350 isi rumah di ketiga-tiga KOA bawah seliaannya menikmati akses pendidikan, pendigitalan, penambahbaikan infrastruktur, peluang ekonomi luas dan inisiatif pemeliharaan budaya yang berterusan, sekali gus meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

“Memang banyak yang berubah dari dulu. Dua Kampung Orang Asli di bawah jagaan saya iaitu Bakok dan Kelinsing sudah diwartakan, memberikan satu jaminan bagi penempatan kami. Selama ini, kawasan penempatan kami tidak ada jaminan (milik kami).
“Daripada segi kemudahan banyak antaranya, pengangkutan (untuk murid sekolah), bantuan rumah daripada MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), jalan dan pemasangan 15 lampu solar,” katanya kepada Media Selangor.
Selain itu katanya, KOA Kelinsing juga diangkat sebagai Kampung Angkat Madani berdasarkan penglibatan penduduk yang aktif dalam pelbagai perkara antaranya keusahawanan, pelancongan dan warisan budaya membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Pelbagai pakej pelancongan yang memperkenalkan budaya Orang Asli seperti tarian, anyaman, makanan tradisional dan kraftangan diusahakan sejak 2018 yang membolehkan penduduk kampung menjana pendapatan sampingan melalui kunjungan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Menurutnya, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), turut ditubuhkan di KOA Kelinsing yang menjadi inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan memperkasa komuniti, menyediakan akses Internet serta latihan kemahiran digital kepada penduduk.

“Kemudahan yang disediakan memang semakin baik dan banyak memanfaatkan Orang Asli, namun jika ada bantuan seperti geran khas, latihan keusahawanan dan kemudahan kedai kekal untuk menjual produk tempatan seperti anyaman dan kraftangan mungkin dapat membantu kami pergi lebih jauh,” katanya.
Sementara itu, penduduk KOA Kelinsing yang menerima bantuan kediaman baharu, menerusi Program Bantuan Bina Baru Rumah Orang Asli Selangor bersyukur menerima bantuan berkenaan memandangkan rumah tempatnya berteduh sudah terlalu uzur untuk didiami.
“Saya gembira dapat rumah ini. Dulu saya tidak merasa rumah seperti ini. Dulu rumah pondok dari papan, atap pun pakai kanvas khemah apabila hujan bocor.
“Terima kasih kerana beri bantuan sebegini, sangat membantu saya dan keluarga,” kata Jati Licur, 48.


