ad

FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan

9 Ogos 2025, 7:00 AM
FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan
FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan
FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan
FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan
FRIM diiktiraf Unesco, bukti kejayaan pemulihan hutan tropika buatan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Usaha menjadikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Taman Hutan Selangor (FPS), Kepong sebagai Tapak Warisan Dunia tidak dicapai sekelip mata.

Sebaliknya, ia kerja keras yang digerakkan secara berterusan sejak 2015, selepas kawasan hutan tropika buatan manusia itu terlebih dahulu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Pasukan khas kemudian dibentuk berikutan FRIM wajar mengorak langkah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Diketuai Noorsiha Ayob, beliau dibantu lima lagi ahli antaranya mantan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, mantan Ketua Pengarah FRIM Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad serta bekas Timbalan Ketua Pengarah FRIM Dr Francis Ng.

Tanpa jemu, mereka mengumpul serta melengkapkan dokumen asas yang diperlukan bagi membolehkan FRIM tersenarai dalam Tentative List, asas utama untuk mendapat pengiktirafan berprestij itu.

Dari laluan pejalan kaki yang merupakan tarikan utama ekopelancongan FRIM, pelawat juga berpeluang melihat pemandangan menara berkembar Petronas dan bangunan di sekitar ibu kota. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Dua tahun dari 2015, kita dapat sediakan dokumen asas dan utama yang diperlukan Pusat Warisan Dunia. Mana-mana tapak yang berhasrat diangkat sebagai warisan dunia perlu daftar senarai ini.

“Pada Julai 2017, FRIM tersenarai. Kita bagi dokumen ringkas ke Unesco. Apabila nama dah tercatat, barulah kita boleh bergerak selanjutnya,” kata Noorsiha kepada Media Selangor.

Jelasnya, pasukan mengambil masa sekitar lapan tahun untuk menjadikan FRIM tapak warisan dunia, terutama berkait dengan nilai sejagat (OUV) dan peradaban sejarah manusia.

Tanpa elemen itu, katanya, tidak mungkin hasrat menaikkan nama FRIM di persada antarabangsa tercapai berikutan syarat ketat ditetapkan Unesco bagi mendapat pengiktirafan.

“Ada 10 kriteria piawaian, kena ada satu daripadanya. Daripada jumlah itu, enam daripadanya kategori budaya, empat bawah semula jadi. FRIM jatuh bawah budaya sebab ia buatan manusia.

“FRIM dapat buktikan kita ada OUV. Kita ada landskap yang bukan sebarangan, landskap perhutanan yang lengkap, flora dan faunanya serta biodoversiti,” katanya.

Untuk memasuki kawasan FRIM-FPS, pelawat perlu melalui pintu masuk utama yang dikawal pengawal keselamatan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menariknya tentang FRIM, Norsiha berkata usaha menjadikan kawasan lebih 500 hektar itu lokasi tumpuan pencinta alam daripada tapak lombong mengambil masa sekitar 100 tahun.

Dahulunya, kawasan itu terjejas teruk, namun dipulihkan dan bertukar kepada hutan hujan tropika yang memiliki kira-kira 2,300 spesis pokok. Ia tidak termasuk haiwan yang ada di dalam.

“Saya difahamkan FRIM satu-satunya buatan sendiri. Di seluruh dunia ada beberapa tapak sahaja yang dibangunkan dari lombong. Kekuatan kita ialah komposisi biodiversiti yang tinggi.

“Kita ada hutan tinggi. Kalau masuk FRIM macam ada payungan gergasi. Ini yang membezakan antara kita dengan tapak lain di dunia. Kita juga jalankan penghutanan semula,” katanya.

Pada 11 Julai, Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 yang berlangsung di Paris dari 6 hingga 16 Julai mengiktiraf FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia.

Lima Tapak Warisan Dunia Unesco lain di Malaysia ialah Taman Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu, Bandar Bersejarah Melaka dan George Town, Lembah Lenggong dan Warisan Arkeologi Gua Niah.

Orang ramai merasai pengalaman berada di 'Forest Skywalk' juga dikenali Jejantas Rimba Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Foto BERNAMA
Bangunan pentadbiran FRIM setinggi dua tingkat yang dibina pada 1929. Aktiviti penyelidikan perhutanan di bangunan ini pada ketika itu merangkumi botani, silvikultur, ekonomi, kimia dan zoologi. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.