Pandangan serong masyarakat terhadap HIV sering menjadikan pesakit terutama golongan remaja sebagai mangsa penilaian moral. Akibatnya, ramai memilih untuk berdiam diri dek takut dihukum.
Rasa malu dan bimbang mengecewakan keluarga menyebabkan mereka menangguhkan rawatan meskipun virus terus merebak dalam tubuh.
Ketika rawatan moden tersedia secara percuma dan berkesan, ramai hanya tampil selepas daya tahan badan (imun) merosot dan peluang untuk pulih semakin tipis.
Lebih mengejutkan, ada yang dijangkiti bukan atas pilihan sendiri. Mereka menjadi mangsa pengantunan seksual oleh individu dewasa, kebiasaannya orang terdekat dan dipercayai.
Pakar Penyakit Berjangkit dan Perubatan Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz mendedahkan ada pesakit mengakui dieksploitasi seawal usia 15 tahun melalui media sosial, permainan dalam talian, bahkan oleh jiran atau ahli keluarga sendiri.
“Mereka keliru dan takut. Ketika mereka tahu mereka berisiko, mereka tidak tahu kepada siapa harus mengadu. Mereka pendam semuanya.
“Bimbang dimarahi dan takut memalukan keluarga, ramai hanya mendapatkan rawatan selepas dua tahun dijangkiti,” kata Dr Najma Kori kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan kelewatan mendapatkan rawatan ini bukan kes terpencil. Ia kini menjadi pola umum dalam kes jangkitan HIV dalam kalangan remaja.
Ramai hanya tampil selepas tahap imun sudah terlalu rendah, menjadikan rawatan lebih mencabar dan risiko komplikasi meningkat.
"Jika rawatan dimulakan lebih awal, jangkitan HIV boleh dikawal sepenuhnya dan tidak berkembang menjadi AIDS," katanya.
Beliau menegaskan rawatan HIV hari ini setaraf dengan kaedah perubatan penyakit kronik seperti kencing manis.
Pesakit memerlukan ubat seumur hidup, tetapi boleh menjalani kehidupan normal termasuk berkahwin dan mempunyai anak jika dirancang dengan selamat.
Namun, stigma sosial masih menjadi tembok penghalang. Ramai golongan muda enggan tampil mendapatkan rawatan kerana bimbang identiti mereka diketahui kolej, keluarga atau komuniti.
Sedangkan rawatan kini boleh diperoleh secara anonim di fasiliti kesihatan kerajaan, dengan ujian pantas hanya mengambil masa 15 minit.
Dr Najma turut memaklumkan 70 hingga 80 peratus kes baharu jangkitan HIV melibatkan lelaki, khususnya dalam kalangan mereka yang terlibat dalam hubungan sejenis.
Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan umur antara 20 hingga 29 tahun merekodkan jumlah tertinggi jangkitan baharu iaitu sebanyak 44 peratus daripada 3,220 kes.

“Kalau dapatkan rawatan, virus tidak boleh dipindahkan. Tapi jika rawatan dihentikan, virus akan kembali aktif dan boleh menjangkiti orang lain. Kos rawatan juga akan jadi lebih tinggi.”
“Ramai masih tidak tahu bahawa HIV bukan sahaja boleh dicegah, tetapi juga dikawal sepenuhnya. Jika ubat diambil secara konsisten, risiko penularan kepada pasangan boleh dikurangkan,” katanya lagi.
Beliau juga menegaskan kepentingan penggunaan kondom dan komunikasi terbuka antara pasangan sebagai langkah perlindungan asas.
Malah, ubat pencegahan seperti Post Exposure Prophylaxis (PEP) boleh diambil dalam tempoh 24 jam selepas terdedah kepada risiko.
Bagaimanapun, hatinya tersentuh apabila semakin ramai keluarga sudah mula memberikan sokongan dan memahami satu perubahan positif mampu memberi harapan kepada pesakit.
“Ramai sangka mak ayah akan marah atau buang mereka. Tapi bila akhirnya mereka jujur, keluarga bantu dan terima. Cari orang yang boleh kita percaya kerana sokongan moral sangat penting," katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat, sekolah dan institusi pendidikan tampil lebih terbuka dan berani dalam mendepani isu HIV.
Pendidikan seksual yang menyeluruh, berasaskan fakta dan empati adalah keperluan mendesak, bukan sesuatu yang boleh terus ditangguhkan.
“Dengan peningkatan jumlah jangkitan dalam kalangan remaja, kita tidak boleh terus berdiam. Bukan untuk menormalisasikan tetapi mengubah stigma demi masa depan yang lebih sihat dan bertanggungjawab," katanya.