ad

Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi

9 Ogos 2025, 2:00 AM
Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi
Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi
Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi
Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi
Dari kampung ke Paris, Orang Asli tawan pentas dunia, buktikan kejayaan bukan mimpi

SHAH ALAM, 9 OGOS: Di sebalik persepsi bahawa masyarakat Orang Asli terpinggir daripada arus kemajuan, realitinya di Selangor, menunjukkan naratif berbeza apabila mereka berjaya dalam pelbagai bidang.

Antaranya, kejayaan A Samri Abdul Rahman, pakar ukiran patung dan topeng kayu etnik Mah Meri dari Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Bumbun di sini, membuktikan warisan budaya mampu diangkat ke pentas dunia.

A Samri, 50, tidak pernah menyangka seni ukiran kayu yang dipelajarinya daripada bapa saudara 30 tahun lalu, kini membawanya menjelajah jauh, bukan sekadar dalam negara, tetapi hingga ke pentas dunia.

“Dulu baring di luar rumah, nampak kapal terbang teringin nak naik. Teringin memang ada, tapi tak kesampaian. Nak naik kapal terbang mahal.

Pengukir Mah Meri, A Samri Abdul Rahman ketika ditemui di Pulau Carey pada 14 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Tak sangka pula (dengan mengukir) saya dapat pergi Paris. Saya buat pasport di PKNS Shah Alam masa itu. Selepas itu Thailand, China, Paris, London dan terkini Osaka, Jepun. Malah bukan sekali saya ke London dan Paris, dua kali.

“Saya rasa seronok melihat negara orang dan kita pun dapat promosi produk kraf kita di luar negara supaya pelancong datang ke negara kita,” katanya ditemui Media Selangor.

Menurutnya, hasil patung ukirannya yang menggunakan kayu hutan paya bakau jenis nyireh batu, pernah terjual sehingga RM5,000, kebanyakannya dibeli pelancong asing dari pelbagai negara.

Tambahnya, setiap seni ukiran etnik Mah Meri yang juga pernah mendapat pengiktirafan Unesco, membawa cerita dan simbolik yang mendalam, antaranya seperti motif sauh, naga dan harimau yang melambangkan kekuatan serta perlindungan.

“Setiap ukiran ada cerita tersendiri biasanya berkaitan alam semesta. Cerita turun temurun daripada nenek moyang. Biasanya pelancong asing sukakan patung yang ada cerita di sebaliknya," katanya.

Pengukir Mah Meri, A Samri Abdul Rahman menunjukkan antara sijil diterimany ketika ditemui di Pulau Carey pada 14 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, katanya sokongan dan peluang diberikan kerajaan banyak membantunya mengorak langkah lebih jauh dalam bidang itu, sekali gus memelihara warisan tinggalan nenek moyang.

"Hasil ukiran saya dan rakan sekarang ini ada dipamerkan di Muzium Shah Alam, membuktikan sokongan kerajaan. Malah sudah sampai ke banyak negara apabila pelancong asing membelinya,” katanya.

Namun, beliau akui, seni warisan ukiran Mah Meri semakin terancam, disebabkan kurangnya generasi muda yang benar-benar berminat untuk mewarisi kemahiran ini.

"Di kampung ini pun mungkin ada lima atau enam pengukir saja. Anak muda, memang kurang. Ada pun anak pakcik saya, itu pun kena paksa dulu baru gerak. Jadi bila saya keluar di kampung ini tiada orang.

"Sebenarnya nak kekalkan warisan ini, kita jadi asasnya. Keluarkan produk dulu, apa saja dalam pemikiran buat saja, jangan tunggu. Binatang, pisau kayu atau keris, tiada halangan. Saya faham ia patung warisan, tetapi buat saja, tiada halangan," katanya.

A Samri Abdul Rahman menunjukkan topeng tradisional Mah Meri hasil ukiran tangannya yang sarat dengan simbolik budaya dan spiritual ketika ditemui di Pulau Carey pada 14 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi Nur Liah Asul, 37, anak kelahiran etnik Temuan dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, kejayaannya menembusi sempadan stereotaip dan cabaran tradisi hingga berjaya melangkah ke kamar mahkamah sebagai peguam, membuktikan keberanian keluar dari zon selesa, disertai dorongan tepat, mampu mengubah masa depan.

Mengimbau detik pertama kali melangkah keluar dari kampung halaman demi melanjutkan pelajaran dalam bidang asasi undang-undang di Universiti Teknologi MARA, Kampus Sungai Petani, Merbok, Kedah, Nur Liah tidak pernah melupakan mereka yang bertungkus-lumus membantu mengumpul sumbangan untuk menampung perbelanjaannya ke sana.

"Saya ingat lagi masa itu saya pergi dengan mak dan cikgu untuk minta sumbangan. Yang saya boleh ingat sampai sekarang, saya pegang sumbangan itu dalam RM1,000 untuk saya bermula.

Peguam, Nur Liah Asul ketika ditemubual di Messrs Tun Saiful & Co di Seksyen 13, Shah Alam pada 21 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Saya sangat berterima kasih kepada cikgu sekolah rendah saya. Selepas itu pegawai JHEA Selangor membantu saya. Encik Hamdan namanya. Nama itu saya tidak akan lupa. Dialah yang banyak membantu saya untuk mendapatkan biasiswa, bawa saya dari pejabat daerah, ke pejabat negeri," katanya.

Tidak terhenti di situ, cabaran persepsi dan rasa rendah diri turut menghantui, dikelilingi rakan sekelas yang kebanyakannya dari latar belakang golongan atasan dan pertengahan, membuatkannya hampir putusa asa, namun sokongan padu daripada keluarga menjadi sumber kekuatan yang membangkitkan semula semangatnya.

"Di sana saya kena usaha lebih, jumpa kawan dari latar belakang berbeza. Ada ibu bapa hakim, peguam, ahli perniagaan. Saya datang dari kampung, ibu bapa pun kerja kampung, adik beradik kerja biasa. Jadi untuk menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu memang susah," katanya.

Kini, ibu kepada tiga anak itu kerap dijemput ke sekolah dan kampung sekitar untuk berkongsi motivasi dan kesedaran, khasnya kepada ibu bapa dan anak-anak muda pentingnya pendidikan dan pemerkasaan diri.

“Setiap kali saya buat perkongsian, saya akan cakap pada anak muda, sambung belajar, tiada masalah. Jika ada kekangan kewangan, sekarang sudah ada biasiswa. Pelbagai lagi bantuan kerajaan sediakan. Saya sendiri dulu dapat juga bantuan biasiswa selain bantuan one off Yayasan Selangor,” katanya.

Peguam, Nur Liah Asul ketika ditemubual di Messrs Tun Saiful & Co Seksyen 13, Shah Alam pada 21 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Namun katanya, bagi memastikan lebih ramai anak Orang Asli berani keluar dan menyahut cabaran pendidikan serta kerjaya, kerajaan perlu mempergiatkan lagi program turun padang di perkampungan Orang Asli.

“Bagi saya, program turun padang sangat penting. Ramai masih takut atau tidak tahu pilihan yang mereka ada. Kalau kerajaan dan agensi terus datang ke kampung dengan pendekatan mesra dan konsisten, ia boleh menarik mereka,” katanya.

Tambahnya, walaupun bantuan kewangan kini banyak disediakan, kekangan sebenar terletak pada kesedaran, sokongan moral dan keyakinan diri perkara yang hanya boleh dipupuk melalui pendedahan awal dan interaksi berterusan dengan dunia luar.

Media sebelum ini melaporkan data pada Oktober 2022 menunjukkan lebih 10 peratus anak orang Asli di seluruh Semenanjung tercicir daripada sistem pendidikan antaranya disebabkan jarak penempatan dengan sekolah, kenderaan, asrama dan akses perjalanan selain sesetengah keluarga yang tidak mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak.

Mac lalu, Kementerian Pendidikan giat memperluas akses pendidikan kepada masyarakat Orang Asli, khususnya di kawasan pedalaman membabitkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dengan setakat tahun lalu, terdapat 28 sekolah K9 dan dua sekolah K11 beroperasi di seluruh negara.

Peguam, Nur Liah Asul ketika ditemubual di Messrs Tun Saiful & Co di Seksyen 13, Shah Alam pada 21 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.