ad

Bateriku sedia lapan pusat urus e-sisa di Selangor

7 Ogos 2025, 12:11 PM
Bateriku sedia lapan pusat urus e-sisa di Selangor

SHAH ALAM, 7 OGOS: Syarikat penyedia bantuan tepi jalan, Bateriku (M) Sdn Bhd (Bateriku) menyediakan khidmat melupus sisa elektronik dan elektrik (e-sisa) di 10 pusat sehenti mereka sebagai langkah melestarikan alam sekitar.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata terdapat lapan premis sekitar Selangor iaitu di Seksyen 7 dan Seri Muda, Shah Alam; Taman Medan, Petaling Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh; Equine, Puchong; Bandar Saujana Putra, Kuala Langat serta Ampang.

Jelas Azarol Faizi Zakaria Ansari, usaha berkenaan juga seiring matlamat negara yang menuju ke arah ekonomi pekeliling dan pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

“Mana-mana bahan e-sisa antaranya bateri dan peranti tidak terpakai seperti telefon bimbit, komputer riba boleh dihantar ke pusat ini.

“Pasukan Briged Hijau yang ditubuhkan syarikat akan mengumpul dan melupuskan bateri lusuh dan sisa elektronik ini secara berhemah,” katanya ketika majlis pelancaran rasmi bateri automotif, ASTRA di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari

Julai tahun lalu, Selangor menyasarkan 15 peratus e-sisa dikumpulkan menjelang 2026, menerusi Program Sisa Elektrik dan Elektronik (E-Waste) pada 11 Julai tahun lalu.

Sistem pengumpulan e-sisa yang diperkenal memberi perkhidmatan secara pintu ke pintu kepada pengguna yang ingin menghantarnya ke tempat pengumpulan yang sah.

Pengguna juga akan diberi ganjaran tunai sebagai insentif untuk mengitar semula peranti lama, yang akan dilaksanakan sehingga 31 Disember.

Informasi program berkenaan boleh didapati melalui laman sesawang www.lestariselangor.com/ewaste.

Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama stategik bersama GCH Retail Sdn Bhd dalam usaha meningkatkan kesedaran dan membudayakan pengurusan sisa elektronik (e-sisa) yang lestari.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 17 pasar raya di Selangor akan mempamerkan kotak promosi pengumpulan e-sisa bagi memudahkan masyarakat menguruskan sisa berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.