ad

Pakar saran Malaysia manfaat 16 perjanjian FTA sedia ada hadapi tarif AS

7 Ogos 2025, 11:00 AM
Pakar saran Malaysia manfaat 16 perjanjian FTA sedia ada hadapi tarif AS

SHAH ALAM, 7 OGOS: Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi meneroka pasaran baharu selain mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran eksport Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Normaz Wana Ismail berkata, sebahagian besar perjanjian tersebut menawarkan kadar tarif sifar, sekali gus membuka ruang besar untuk Malaysia memperluas pasaran sedia ada.

"Melalui perjanjian ini, Malaysia berpeluang meneroka pasaran lebih luas, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat dengan mengalihkan eksport ke negara-negara dalam blok perdagangan berkenaan," jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia telah lama mempunyai hubungan dagangan kukuh dengan Asean, China, Kesatuan Eropah dan AS yang menyumbang sebahagian besar kepada jumlah dagangan negara, masing-masing sekitar 26 peratus, 16.8 peratus, 7.6 peratus dan 11.3 peratus.

“Ini menunjukkan Malaysia sudah ada asas dagangan meluas dan masih mempunyai ruang besar untuk teroka lebih banyak alternatif pasaran,” katanya.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Normaz Wana Ismail

Mengulas lanjut, Normaz Wana berkata, Malaysia perlu meningkatkan penyertaan dalam Rantaian Nilai Global (GVC) dengan menambah nilai berasaskan bahan mentah tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada input import.

“Kajian saya mendapati penyertaan Malaysia dalam GVC masih banyak bergantung kepada bahan mentah antarabangsa. Jadi, kita perlu perancangan strategik untuk ubah corak ini dan manfaatkan sumber domestik. Usaha ini penting bagi meningkatkan tahap penyertaan negara dalam GVC,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta perdagangan berteknologi tinggi, termasuk produk seperti sarung tangan perubatan yang diklasifikasi sebagai barangan berteknologi tinggi.

“Itu hanya satu contoh, banyak lagi sektor lain yang berpotensi seperti industri kimia, elektrik dan elektronik (E&E), serta bidang masa depan seperti digitalisasi dan robotik yang merupakan salah satu agenda negara.

"Malaysia mempunyai kapasiti teknologi dan harus mengangkat potensi ini sekiranya mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memegang senarai tarif ke atas pelbagai negara di Rumah Putih di Washington DC, Amerika Syarikat, pada 2 April 2025. Foto REUTERS

Tambah Normaz Wana, Malaysia perlu membina ekosistem sokongan industri dan menggunakan kelebihan memiliki lebih 200 rakan dagang bagi menjamin daya tahan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar.

“Untuk jangka panjang, Malaysia perlu pelbagaikan destinasi eksport dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat.

"Dengan lebih 200 rakan dagang dan penyertaan dalam pelbagai perjanjian perdagangan, kita berpotensi tingkatkan volume dan nilai dagangan antarabangsa,” jelasnya.

Pada 1 Ogos lalu, kadar tarif baharu untuk Malaysia diumumkan sebanyak 19 peratus, penurunan enam peratus daripada kadar 25 peratus yang diumumkan pada 7 Julai lalu.

Selain Malaysia, empat lagi negara Asean iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja turut dikenakan kadar tarif serupa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.