ad

35 wanita pelayan pelanggan berhimpit dalam bilik rahsia elak ditahan

7 Ogos 2025, 8:05 AM
35 wanita pelayan pelanggan berhimpit dalam bilik rahsia elak ditahan

BUTTERWORTH, 7 OGOS: Taktik 35 wanita pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi di dalam bilik rahsia sebuah premis hiburan di sini terbongkar selepas mereka berjaya dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Osman berkata kesemua wanita tersebut sanggup berhimpit di dalam ruangan sempit, namun berjaya ditemukan pasukannya.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 19 warga Vietnam, 14 Thailand serta masing-masing seorang warga China dan Laos, berusia antara 23 hingga 45 tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki warga China yang hadir ke premis itu untuk berhibur turut ditahan, manakala seramai 73 lelaki tempatan yang berada di lokasi turut diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini mempunyai 10 bilik, dan setiap bilik mempunyai ruangan rahsia yang tersembunyi di sebalik sofa, pembesar suara serta satu bilik rahsia yang terletak di dalam tandas.

“Operasi ini berdepan cabaran kerana semua akses ke premis yang terletak di tingkat tujuh bangunan tersebut telah dimatikan, termasuk lif, bagi menggagalkan serbuan. Pasukan kami terpaksa memecahkan pintu untuk memasuki premis berkenaan,” katanya.

Basri berkata premis hiburan yang dipercayai beroperasi lebih setahun itu turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan dikawal ketat, malah kehadiran pihak berkuasa dipercayai dimaklumkan lebih awal oleh individu dipercayai ‘tonto’ yang berada di kawasan sekitar.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, GRO terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM250 hingga RM300 sejam, dan pihaknya turut menemui sejumlah besar wang tunai bersama nombor badan, yang dipercayai merupakan bayaran kepada wanita terbabit.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963, dan kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Jawi,” katanya.

Operasi yang dijalankan bermula 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu melibatkan 45 anggota dari Ibu Pejabat Imigresen, Perak dan Pulau Pinang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.