ad

Lelaki ceroboh landasan LRT Masjid Jamek untuk ke tempat kerja ditahan

7 Ogos 2025, 4:42 AM
Lelaki ceroboh landasan LRT Masjid Jamek untuk ke tempat kerja ditahan

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Lelaki dipercayai warganegara asing ditahan kerana menceroboh landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek laluan Ampang di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan selepas dia dikesan Pusat Kawalan Bersepadu (ICC) sedang melintas dari Platform 2 ke Platform 1 melalui landasan, pada 10.11 pagi.

“Pengadu yang merupakan anggota polis bantuan Prasarana telah menerima maklumat pusat kawalan dan segera ke lokasi sebelum menahan suspek yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sulizmie berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, dan mengaku menceroboh landasan sebagai jalan pintas ke tempat kerja.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat hari ini untuk tujuan siasatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang atau menceroboh kawasan larangan yang boleh membahayakan diri serta orang lain.

“Sebarang maklumat perlanggaran undang-undang boleh disalurkan terus kepada Hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460522 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.