ad

Bapa didakwa bunuh anak lelaki enam tahun

7 Ogos 2025, 3:19 AM
Bapa didakwa bunuh anak lelaki enam tahun

JELEBU, 7 OGOS: Bapa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia enam tahun di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau, bulan lalu.

M. Arunkumar, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut yang bekerja sebagai pemandu e-hailing membunuh kanak-kanak itu antara 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau pada 23 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Mahkamah menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu membuat laporan polis pada 24 Julai lalu mendakwa anaknya hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.

Lelaki terbabit pada awalnya mendakwa kanak-kanak itu hilang kira-kira 4 petang, pada 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta ketika suspek keluar membeli makanan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan Rompin, Jempol, kira-kira 4.30 petang, 28 Julai 2025.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.