SHAH ALAM, 7 OGOS: Langkah kerajaan meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus ke atas beberapa jenis ikan segar dan buah-buahan import dilihat sebagai ikhtiar strategik bagi merangsang permintaan terhadap produk tempatan.
Bagaimanapun, pelaksanaan cukai jualan yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu menerima pelbagai reaksi daripada peniaga, pengguna dan pakar ekonomi khususnya melibatkan kesan terhadap harga barangan asas dan arah tuju dasar kebergantungan import negara.
Cabaran peniaga, pilihan pengguna
Bagi peniaga, Saifullah Iqhwan Khan, 33, pelaksanaan SST dijangka meningkatkan harga pasaran, namun pengguna masih mempunyai alternatif seperti buah-buahan tempatan yang tidak dikenakan cukai.

"Kebanyakan buah import yang dikenakan SST seperti avokado dan anggur bukanlah pilihan harian rakyat. Pengguna tetap akan buat keputusan berdasarkan kualiti dan harga.
"Namun kerajaan perlu perjelas pelaksanaan SST ini supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan supaya projek tanaman seperti cili dan bawang yang pernah diusahakan kerajaan dengan beberapa agensi sebelum ini diperluas kepada buah-buahan import, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk luar negara.
Sementara itu, pengguna Rahmah Shamsuddin, 69, berkata cukai tersebut tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan hariannya kerana beliau lebih cenderung memilih produk tempatan.

"Buah tempatan lebih berpatutan dan mudah didapati. Malah, inisiatif seperti Jualan Ehsan Rahmah oleh Kerajaan Negeri sangat membantu khususnya kepada golongan berpendapatan rendah, "katanya.
Seorang lagi pengguna, Wan, 75, berpandangan cukai bukan penghalang kerana buah-buahan tetap diperlukan demi kesihatan.

"Saya suka buah tempatan sebab lebih segar dan harganya berpatutan. Tapi saya tetap banding harga dulu sebelum beli. Kualiti penting, tapi layanan peniaga pun main peranan," katanya.
Selangor kukuh dalam pertanian
Menurut Laporan Interim Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor mencatat nilai jualan pertanian sebanyak RM8.89 bilion dengan pecahan seperti berikut:
Tanaman (43.4%)
Ternakan (37.7%)
Perikanan tangkapan (16.6%)
Akuakultur (2.2%)

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pentadbiran negeri bakal mengemukakan dasar dan inisiatif baharu dalam Belanjawan Selangor serta pelan pembangunan akan datang bagi menarik lebih ramai belia menyertai sektor pertanian.
"Kita perlu jadikan pertanian ini satu aktiviti yang ‘cool’, kerana ia mampu memberi hasil dan pulangan yang tinggi," katanya ketika melancarkan laporan banci tersebut pada 29 Julai lalu.
Strategi ekonomi dan peluang tempatan
Pensyarah Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan pelaksanaan SST adalah langkah strategik untuk menyokong produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta mencipta peluang ekonomi baharu.

“Hasil kutipan SST boleh dimanfaatkan untuk memberi lebih banyak bantuan kepada peladang dan nelayan agar mereka mampu meningkatkan pengeluaran serta menyesuaikan produk mengikut kehendak pasaran.
“Apabila pengguna mula mencari alternatif lebih murah, peniaga tempatan boleh mengisi permintaan itu. Inilah antara kejayaan tidak langsung pelaksanaan SST,” katanya.
