KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kerja-kerja pemasangan struktur gantri paparan iklan merentasi lebuh raya akan dilaksanakan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kilometer (KM) 25.4 hingga KM25.7, antara Jalan Duta dan Bukit Lanjan, selama dua hari bermula esok.
PLUS Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja yang dilakukan kontraktor pihak ketiga itu dijalankan di kedua-dua arah pada 11 malam hingga 5 pagi.
“Kami menjangkakan berlaku gangguan trafik yang minimum di lokasi semasa kerja dijalankan. Pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan sepanjang tempoh itu. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan petugas PLUS,” menurut PLUS.
Menurut kenyataan itu, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, Aplikasi X@plustrafik atau Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.