SIAPA sangka dahulunya ia bekas lombong bijih timah, tetapi kini berdiri megah sebagai model pemulihan hutan tropika bertaraf dunia.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS) yang terletak di Kepong, Selangor menempa sejarah apabila disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco ke-6 Malaysia, baru-baru ini.
Pengiktirafan ke atas tapak unik ini sekali gus mengangkat nama negara di pentas global dan mengukuhkan kedudukan FRIM sebagai antara pusat konservasi hutan tropika paling penting di dunia.
Jurufoto Remy Arifin berpeluang menelusuri keindahan biodiversiti dan tarikan terkandung di dalamnya. Dari pepohon menjulang, fenomena jarang terlihat sehingga cahaya yang menyelinap di celahan daunan.
Untuk memasuki kawasan FRIM-FPS, pelawat akan melalui pintu masuk utama yang dikawal ketat pengawal keselamatan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Di luar pintu masuk, pelawat dapat melihat monumen ikonik FRIM yang diperbuat daripada log kayu balau. Meski sudah lebih sedekad dibina sejak 2013, namun ia masih berdiri teguh. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Dendrocalamus giganteus, salah satu spesies buluh tertinggi yang ditanam di sini. Spesies ini berasal dari India, Myanmar, Thailand dan wilayah Yunnan di China. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Bangunan pentadbiran FRIM setinggi dua tingkat yang dibina pada 1929. Aktiviti penyelidikan perhutanan di bangunan ini pada ketika itu merangkumi botani, silvikultur, ekonomi, kimia dan zoologi. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Fenomena malu-malu silara atau Crown Shyness menjadi daya tarikan di hutan tropika ini yang menyaksikan kanopi pokok-pokok tidak bersentuhan antara satu sama lain. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Forest Skywalk atau Jejantas Rimba menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pelawat. Dibuka pada 31 Ogos 2020, pelawat boleh berjalan di atas kanopi hutan sambil menikmati pemandangan mempesonakan dan mendebarkan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Dari laluan pejalan kaki yang merupakan tarikan utama ekopelancongan FRIM, pelawat juga berpeluang melihat pemandangan menara berkembar Petronas dan bangunan di sekitar ibu kota. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Tapak FRIM yang melalui proses penghutanan semula kaya dengan biodiversiti termasuk variasi spesies palma yang jarang ditemui. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Kepelbagaian spesies pokok yang tinggi dan ekosistem hampir menyamai hutan hujan tropika menjadi penanda aras FRIM disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco. Foto Forest Research Institute Malaysia (FRIM)