PETALING JAYA, 6 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka mengumumkan 13 garis panduan baharu berkaitan pelesenan premis perniagaan bulan depan, termasuk cadangan melanjutkan operasi pusat hiburan sehingga jam 3 pagi.
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata ketetapan itu hasil sesi libat urus bersama ahli majlis, ketua jabatan serta pemain industri termasuk pengusaha hotel dan premis hiburan.

“Memang ada perbincangan untuk lanjutkan operasi pusat hiburan hingga 3 pagi, tetapi ia belum dimuktamadkan kerana masih menunggu kelulusan mesyuarat tertinggi MBPJ,” katanya pada sidang media pelancaran Placemaker Week ASEAN (PWA) 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata garis panduan berkenaan turut melibatkan pelesenan premis lain seperti kedai haiwan peliharaan dan operasi krematorium di bandar raya ini.
“Ada 13 garis panduan pelesenan baharu sedang dibincangkan. Kita akan buat pengumuman rasmi dalam satu sidang media khas selepas semua cadangan ini diluluskan,” katanya lagi.
Ketika ini, pusat hiburan di Petaling Jaya hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi.
November tahun lalu, media melaporkan MBPJ sedang meneliti permintaan industri pelancongan untuk melanjutkan waktu operasi pusat hiburan, susulan sesi bengkel pelancongan yang diadakan bersama pihak berkepentingan.