ad

MBPJ terbuka terima pandangan pembangunan Pasar Jalan Othman

6 Ogos 2025, 7:41 AM
MBPJ terbuka terima pandangan pembangunan Pasar Jalan Othman

PETALING JAYA, 6 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terbuka menerima pandangan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat bagi penambahbaikan Pasar Jalan Othman dalam menyediakan kemudahan lebih moden dan mesra pengguna.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya juga membuka Pelawaan Cadangan (RFP) untuk penambahbaikan pasar berkenaan kepada pihak luar dan akan menilai setiap cadangan secara menyeluruh.

Beliau turut memberi jaminan, pandangan ahli majlis dan komuniti setempat tidak akan diketepikan, bagi memastikan pembangunan pasar tersebut mengambil kira keperluan dan aspirasi penduduk tempatan.

“Pasar Jalan Othman, kawasan yang lama. Kita memang sudah buka untuk RFP, jadi kita melihat pandangan daripada pihak luar yang mungkin ada idea lebih baik dan sebagainya. Kita akan nilai RFP yang ada dan paling penting bila ada mana-mana RFP pun, kita tidak akan meninggalkan ahli majlis atau komuniti setempat.

“Libat urus dengan mereka memang kita buat, sebab mereka memang duduk di kawasan itu dan sudah lama tinggal di situ. Sudah pasti mereka nak tahu apa yang akan berlaku di situ.

“Sebab itu, melalui libat urus, mungkin mereka akan juga boleh beri pandangan, jadi kita akan terima asalkan semuanya dirancang dengan baik. Placemaker Week Asean (PWA) 2025 juga jadi antara medan mengumpul idea mengenai pasar ini ,” katanya pada sidang media peluncuran program berkenaan, hari ini.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan pemulihan Kompleks Pasar Jalan Othman berkonsepkan ekosistem pelbagai guna berteras penyatuan komuniti berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi itu.

Namun, wakil rakyat, penduduk dan peniaga mahu ia seiring penambahbaikan kemudahan asas, khususnya penyediaan tempat parkir yang mencukupi, agar pertambahan pengunjung kelak, selari keselesaan dan keperluan mereka dan peniaga.

Berhubung PWA 2025, Mohamad Zahri berkata, acara yang akan berlangsung empat hari bermula 27 hingga 30 Ogos ini di Dewan Sivik MBPJ, merupakan antara 24 acara yang dirangka sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 3025 peringkat MBPJ.

Menurutnya, dianjurkan secara strategik bersama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Placemaking Malaysia dan rakan sinergi lain, ia akan memperkasa pembangunan bandar berasaskan prinsip placemaking yang menekankan fungsi, nilai dan keterangkuman ruang awam.

Seramai 49 penceramah dari 14 negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Kemboja, Thailand, Filipina, Korea, Taiwan, Hong Kong, China, Australia dan Myanmar bakal berkongsi idea sekali gus membina jaringan dan meninjau pendekatan baharu dalam reka bentuk bandar mampan ekslusif.

PWA 2025 memfokuskan empat subtema utama iaitu iklim bandar dan daya tahan, pulangan pelaburan daripada penciptaan ruang, pemberdayaan komuniti dan peranan kerajaan dalam placemaking.

Program itu antara lain akan mempromosikan tempat awam yang mempunyai nilai kepada masyarakat dan menggalakkan kerjasama serantau dalam usaha menjadikan bandar lebih inklusif, selamat, mudah diakses dan mampan untuk semua lapisan umur dan latar belakang.

Selain itu, menampilkan inisiatif tempatan dan antarabangsa yang berjaya dalam pelaksanaan prinsip placemaking dan reka bentuk sejagat (universal design) serta memberi ruang kepada komuniti dan golongan rentan untuk bersuara dalam perancangan bandar melalui pendekatan perancangan berasaskan bukti dan penglibatan masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.