PETALING JAYA, 6 OGOS: Seramai 2,000 pemain daripada 104 pasukan tempatan dan antarabangsa bakal bersaing dalam Selangor Touch Fiesta 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos ini di Hevea Arena, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), di sini.
Setiausaha Persatuan Touch Selangor (TAS) Amir Afifuddin Amir Sharifudin berkata kejohanan itu mempertandingkan lapan kategori iaitu lima peringkat junior dan tiga kategori terbuka – lelaki, wanita dan campuran.
“Kejohanan ini turut menerima penyertaan pasukan dari luar negara seperti Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand, melibatkan lapan pasukan daripada tiga kategori.

“Kita juga menampilkan kategori bawah umur dari 10 hingga 18 tahun selaras dengan inisiatif pembangunan sukan untuk bakat muda,” katanya pada sidang media di Hevea Arena, RRI di sini, hari ini.
Tambahnya, TAS komited memperkasakan sukan berkenaan sebagai medium penyatuan komuniti serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda.
Sukan touch ragbi ialah permainan berpasukan melibatkan dua kumpulan dengan enam pemain setiap satu. Ia menggalakkan kemahiran asas seperti berlari, menghantar dan menangkap menggunakan bola seakan ragbi, namun dimainkan secara sentuhan minimum tanpa sentuhan fizikal kasar.