ad

SUKMA 2026 tawar 34 sukan termasuk e-sukan, kabaddi, Brunei turut serta

5 Ogos 2025, 11:25 AM
SUKMA 2026 tawar 34 sukan termasuk e-sukan, kabaddi, Brunei turut serta

SHAH ALAM, 5 OGOS: Empat jenis sukan tambahan iaitu e-sukan, kriket, catur dan kabaddi bakal dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA hari ini menetapkan penambahan dua sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, membawa 30 sukan wajib yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan 34 sukan yang akan dipertandingkan pada temasya dwi-tahunan bermula di Selangor selaku tuan rumah mulai tahun hadapan.

“Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen negara Brunei Darussalam dalam SUKMA 2026. Jenis dan jumlah sukan yang disertai akan ditentukan Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama EXCO Belia, Sukan Najwan Halimi (kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Selangor di Courtyard by Marriot Setia Alam pada 4 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Mesyuarat EXCO Sukan Negeri-Negeri yang diadakan sebelum mesyuarat hari ini juga memutuskan penyertaan kontinjen negeri ke temasya para Sukma mulai edisi tahun depan di Selangor akan melalui Majlis Sukan Negeri bukan lagi Jabatan Belia dan Sukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.

Ditanya mengenai ketiadaan pickleball sebagai acara dipertandingkan, Hannah memberitahu sukan tersebut baharu digazetkan yang memerlukan pelaburan besar dengan sokongan sekurang-kurangnya enam negeri mengikut peraturan SUKMA.

“Walaupun tidak memasuki SUKMA, tetapi kita menganjurkan pertandingan dalam kejohanan masters terutama di peringkat sekolah bermula tahun lepas,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hannah turut berpuas hati dengan persiapan rapi yang dilakukan Selangor kini mencapai tahap 50 peratus secara keseluruhan.

“Saya percaya penganjuran SUKMA di Selangor akan menjadi inklusif dengan venue sedia ada, acara pembukaan di tempat baharu dan penglibatan lebih ramai atlet wanita,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.