SHAH ALAM, 5 OGOS: Aksi dua beradik yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir awal pagi tadi apabila mereka diberkas di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas dikesan dan dikejar sejauh lebih 90 kilometer di sekitar Shah Alam.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi, sepasukan anggota Unit Rondaan MPV sedang menjalankan rondaan di Pusat Komersial Seksyen 7 apabila mengesan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, arahan supaya pemandu memberhentikan kenderaan telah dikeluarkan menggunakan siren dan pembesar suara, namun individu terbabit bertindak memecut laju secara melulu bagi mengelak pemeriksaan.
“Situasi itu memaksa pihak polis mengejar kenderaan berkenaan dengan bantuan enam lagi kereta peronda lain. Selepas hampir sejam, kereta tersebut berjaya dipintas di Seksyen 9, betul-betul di hadapan pintu pagar IPK Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Dua lelaki Melayu yang berada dalam kenderaan itu merupakan adik-beradik berusia 18 dan 24 tahun. Mereka berjaya ditahan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebotol cecair berwarna hijau disyaki air ketum di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
“Siasatan mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala adiknya yang berusia 18 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 berhubung pemilikan bahan larangan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali.
Permohonan tahanan reman terhadap kedua-dua suspek telah dikemukakan di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor S. Nawinthan di talian 016-2052314.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 17 saat yang memaparkan beberapa buah kereta peronda MPV mengejar sebuah kenderaan di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7, di sini.