ad

Ops Gasak gempur penyelewengan gas subsidi di premis makanan

5 Ogos 2025, 4:14 AM
Ops Gasak gempur penyelewengan gas subsidi di premis makanan
Ops Gasak gempur penyelewengan gas subsidi di premis makanan

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan terhadap penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis makanan khususnya kantin, yang dikenal pasti antara lokasi utama berlaku ketirisan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya memandang serius isu penyelewengan itu dan tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) terus dipergiat bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata Ops Gasak di kantin ditumpukan susulan penemuan beberapa kes melibatkan pihak yang berselindung di sebalik perniagaan sebagai pemborong LPG yang membekalkannya kepada industri.

"Kita dapati sindiket mengambil tong LPG bersubsidi dan kemudian memindahkannya ke dalam tong gas tidak bersubsidi. LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi berharga RM26.60 satu tong manakala 14 kg tanpa subsidi berharga RM70.

“Perbezaan harga yang ketara ini menunjukkan keuntungan besar diperoleh sekiranya gas bersubsidi dipindahkan ke tong tidak bersubsidi dan inilah antara bentuk ketirisan subsidi yang sedang diperangi secara besar-besaran oleh pihak berkuasa,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau mengambil contoh kes berlaku di Johor baru-baru ini apabila KPDN mengesan kegiatan penyelewengan di sebuah kantin yang berselindung di sebalik operasi pemborong LPG, namun pada masa sama terlibat dalam penyelewengan penggunaan tos gas bersubsidi di kantin.

“Pihak terbabit sudah diberkas dan tindakan tegas diambil berpandukan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Fuziah berkata pada masa ini, Ops Gasak dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak kerana negeri itu mempunyai ordinan sendiri dan penguatkuasaan LPG berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata Ops Gasak turut memastikan LPG bersubsidi hanya digunakan oleh isi rumah dan peniaga mikro selaras dengan sasaran subsidi kerajaan.

“Dari segi undang-undang tiada kecacatan, namun berlaku salah guna oleh pemborong yang membekalkan LPG bersubsidi kepada pihak tidak layak seperti industri. Maka, dalam kes ini besar kemungkinan pemborong yang melakukan kesalahan terbabit perlu bertanggungjawab.

“Kita mempunyai peraturan yang mencukupi untuk melindungi subsidi ini, namun masih ada pihak yang menyalahgunakannya,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini dilaporkan berkata kementerian berkenaan melaksanakan Ops Gasak sejak 1 Mei lepas bagi mengekang ketirisan dan penyelewengan tong LPG bersubsidi terhadap sektor industri dan komersial.

Operasi yang dilaksanakan hingga 31 Okt itu adalah inisiatif penguatkuasaan terkini yang dilancarkan di bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang dilancarkan pada 19 Okt 2024.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.