ad

SKMM siasat video pempengaruh beri sisa makanan kepada gelandangan

5 Ogos 2025, 3:40 AM
SKMM siasat video pempengaruh beri sisa makanan kepada gelandangan

CYBERJAYA, 5 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memulakan siasatan susulan aduan orang ramai berhubung penyebaran video memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan serta menimbulkan keresahan orang ramai.

“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan siasatan terhadap kandungan itu sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurut kenyataan itu, SKMM komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut SKMM.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.