SHAH ALAM, 5 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut kehadiran Timbalan Datuk Bandar baharu Safriah Md Adzhar yang mula bertugas secara rasmi pada 1 Ogos lalu.
Sesi angkat sumpah pelantikan beliau berlangsung pada semalam di Wisma MBSA dan disempurnakan di hadapan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan hari ini menyifatkan pelantikan Safriah sebagai suntikan baharu kepada kepimpinan MBSA, berbekalkan pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam serta kepakaran dalam dasar pembangunan, pengurusan dan inovasi.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pendaftar di Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Ogos 2019 hingga Julai 2025.
Sepanjang lebih dua dekad dalam perkhidmatan, Safriah pernah bertugas di beberapa kementerian dan agensi utama iaitu:
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuklah:
Ketua Penolong Pengarah MITI
Ketua Unit Pengurusan Penyampaian di bawah NKRA Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH)
Timbalan Ketua Kluster Pengajian Pembangunan, Pengurusan dan Inovasi (INOVASI) INTAN

Berbekalkan latar akademik kukuh, Safriah memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Diploma Pengurusan Awam dari INTAN, Sarjana Sains dalam Polisi Kerjasama Antarabangsa dari Ritsumeikan Asia Pacific University, Jepun serta Sarjana Falsafah dalam Pengurusan dari University of Aberdeen, United Kingdom.
MBSA yakin kepimpinan dan kepakaran beliau bakal memperkukuh lagi aspirasi menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya pintar, berdaya huni dan mampan selari dengan misi menjadi PBT terunggul di Selangor dan Malaysia.