SHAH ALAM, 4 OGOS: Cubaan lelaki meragut rantai leher gagal apabila ditangkap orang awam dalam kejadian di Jalan Setia Prima, Setia Alam dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian 7.07 petang itu, suspek yang menunggang motosikal mendekati mangsa lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang sedang menuju ke keretanya.
Beliau berkata tindakan pantas mangsa menarik semula rantai menyebabkan suspek warga tempatan berusia 30 tahun terjatuh dari motosikal.
“Suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap orang awam. Siasatan mendapati suspek ialah pemilik motosikal itu, namun menggunakan nombor pendaftaran palsu. Suspek direman empat hari hingga 7 Ogos ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani melalui talian 010-3728932.
Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular video di laman sosial yang memaparkan mangsa bergelut dengan suspek untuk menghalang daripada diragut.
- BERNAMA