KOTA BHARU, 4 OGOS: Bayi lelaki yang masih bernyawa dijumpai di sebuah pondok bas di Jalan Lama Kulim menghala ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali di Pasir Puteh kira-kira 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata bayi yang cukup sifat itu dibalut dengan kain pelekat dan diletakkan di lantai pondok bas berkenaan.
“Bayi terbabit telah dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerusi talian 09-7862005 atau tampil ke IPD untuk membantu siasatan.
- BERNAMA