SHAH ALAM, 4 OGOS: Isu bantuan kepada mangsa kejadian letupan gas Putra Heights, Subang Jaya termasuk pembiayaan kos sewa rumah akan dibincang dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Jumaat ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga akan meneliti semula kemajuan kerja pembinaan semula dan baik pulih rumah mangsa supaya kerja berjalan lancar.
“Sebagaimana saya maklumkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), proses itu akan siap Oktober. Memang ia ambil masa sedikit sebab bergantung kerosakan tapi kalau kata kerja (pembinaan) perlahan, kita semak balik.
“Tempoh hari dalam dewan saya maklumkan kerja di tahap 22 hingga 24 peratus berjalan, dijalankan Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB). Di Kampung Kuala Sungai Baharu kerja pembinaan lebih cepat,” katanya.
Beliau ditemui ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama penyelarasan industri (JBI) Selangor yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Amirudin turut menafikan terdapat perbezaan bantuan diterima antara mangsa di Kampung Kuala Sungai Baru dan Taman Putra Heights, sebaliknya menegaskan ia berdasarkan kadar kerosakan mengikut siling ditetapkan.
“Rumah di Putra Heights ada rosak keseluruhan. Kita ada beberapa kategori, rumah yang 'total lost' sehingga RM300,000, yang mengalami kerosakan kecil hingga RM60,000.
“Antara kedua-duanya itu pula ada proses tertentu, tidak ada bezanya. Kos pembiayaan sewa rumah untuk tempoh tiga bulan juga akan disegerakan selepas berlaku kelewatan kerana perlu lakukan semakan,” katanya.
Pada 8 Julai ketika sidang DNS, Amirudin berkata 81 rumah musnah sepenuhnya dalam insiden letupan saluran gas milik Petronas di Putra Heights, 1 April lalu dijangka siap antara Oktober sehingga Jun 2027.
Menurutnya jemaah menteri memutuskan Sime Derby Properties bertanggungjawab membina dan membaiki rumah mangsa di Taman Putra Harmoni memandangkan mereka adalah pemaju utama kawasan berkenaan dan mahir dengan pelan kediaman.
Manakala SPNB terlibat untuk kerja di Kampung Kuala Sungai Baharu. Proses itu akan siap pada Oktober 2025 manakala Taman Putra Harmoni diberi tempoh sehingga 24 bulan sehingga Jun 2027.
Berdasarkan ujian penilaian ekosistem, setakat Julai lalu 20 rumah dibina semula, 52 unit dibaiki manakala 46 unit dalam proses akhir ujian titik retak dan struktur.