ad

LLSB terima RM1.75 juta tajaan operasi interceptor bersih Sungai Klang

4 Ogos 2025, 8:00 AM
LLSB terima RM1.75 juta tajaan operasi interceptor bersih Sungai Klang
LLSB terima RM1.75 juta tajaan operasi interceptor bersih Sungai Klang
LLSB terima RM1.75 juta tajaan operasi interceptor bersih Sungai Klang

KLANG, 4 OGOS: Usaha pemuliharaan Sungai Klang terus dipertingkat menerusi tajaan berjumlah RM1.75 juta bagi memastikan kelangsungan operasi Interceptor 002 kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim berkata sumbangan itu disalurkan oleh Kumpulan Affin (Affin Group) sebanyak RM1.5 juta dan MUFG Bank (Malaysia) Berhad, RM250,000 bagi menampung kos operasi pembersihan sungai itu.

“Pembersihan sungai amat penting bagi memastikan kualiti air terpelihara, di samping memainkan peranan utama dalam usaha tebatan banjir serta sumber bekalan air mentah,” katanya.

Menurut beliau, interceptor bukan sekadar aset teknologi, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu pencemaran sampah, khususnya plastik, secara berterusan dan berkesan.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim menyampaikan ucapn ketika merasmikan Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika Majlis perasmian kerjasama antara Kumpulan Affin, MUFG Bank (Malaysia) Berhad dan Landasan Lumayan Sdn Bhd bagi Projek Selangor Maritime Gateway di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 04 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Sejak 2016 sehingga kini, lebih 95,000 tan metrik sisa terapung telah berjaya dikutip dan ini seolah-olah tiada noktahnya. Interceptor ini melambangkan kesungguhan kita mencari penyelesaian tuntas terhadap pencemaran di Sungai Klang yang merupakan salah satu sungai utama di negeri ini.

"Dengan pelaksanaan inisiatif seperti Interceptor 002, kita bukan sahaja membersihkan sungai, tetapi menyediakan asas kukuh bagi model ekonomi berasaskan kelestarian dan inovasi," ujar beliau.

Beliau memaklumkan, unit tersebut pada asalnya dipinjamkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Ocean Cleanup yang berpangkalan di Rotterdam, Belanda, tanpa sebarang kos pembelian.

“Mereka beri pinjaman ada awalnya jadi kita tak perlu bayar harga interceptor. Tapi selepas sekian lama mereka lihat kita serius dan bagi terus dengan anggaran nilai sekitar 600,000 euro atau RM3 juta satu.

“Setakat ini, kita telah memiliki dua unit dan akan menerima satu lagi. Namun, kos operasi seperti pengutipan dan pelupusan sampah tetap memerlukan pembiayaan, inilah yang ditaja oleh pihak korporat," katanya.

Beliau turut menghargai penglibatan aktif NGO dalam inisiatif ini, dan menggalakkan lebih banyak pihak, terutamanya sektor swasta, tampil memberi sokongan terhadap agenda pemuliharaan sungai.

Tengku Permaisuri Selangor Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Norashikin bertitah ketika merasmikan Majlis perasmian kerjasama antara Kumpulan Affin, MUFG Bank (Malaysia) Berhad dan Landasan Lumayan Sdn Bhd bagi Projek Selangor Maritime Gateway di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 04 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya amat teruja melihat penyertaan NGO dan berharap lebih ramai pihak tampil menaja atau menyumbang secara langsung dalam usaha ini," tambah beliau.”

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Projek Selangor Maritime Gateway Interceptor 002 di Taman Awam Pengkalan Batu di sini, hari ini.

Terdahulu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin, berkenan berangkat merasmikan acara tersebut, diiringi Timbalan Menteri Ekonomi Dato’ Hanifah Hajar Taib, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Dato' Abdul Hamid Hussain.

Interceptor adalah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sampah terapung dan dibuang ke dalam sungai sebelum ia sampai ke laut.

Selain Interceptor 002 mula beroperasi pada Ogos 2019, diikuti dengan Interceptor 005 yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.