ad

MB sampaikan amanat khas hala tuju negeri pada 29 Ogos

4 Ogos 2025, 5:45 AM
MB sampaikan amanat khas hala tuju negeri pada 29 Ogos

SHAH ALAM, 4 OGOS: Dato' Menteri Besar akan menyampaikan amanat khas kepada ketua-ketua jabatan dan wakil komuniti pada 29 Ogos ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata antara inti pati penting ialah mengenai hala tuju negeri terutama Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Pelan Tindakan Smart Selangor.

"Kita akan adakan sambutan Hari Kebangsaan pada 30 Ogos seperti biasa, cuma bezanya akan ada amanat khusus yang disampaikan kepada ketua-ketua jabatan dan wakil komuniti pada 29 Ogos.

"Pada 30 Ogos ada juga amanat khusus oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, begitu juga Selangor ada amanat khusus menjelang 2026...bagi melengkapkan pelan seperti RS-1 dan 'smart state' (Pelan Tindakan Smart Selangor)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Turut berlangsung majlis perhimpunan penjawat awam dan kempen kibar Jalur Gemilang.

Terdahulu, dalam ucapan dalam majlis bersama ribuan penjawat awam, Amirudin mengingatkan semua supaya menghayati sejarah pembentukan Malaysia sebagai negara berdaulat.  

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) dan penjawat  awam mengibarkan Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Dato' Menteri Besar di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam,  pada 4 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan penjawat  awam melafazkan Ikrar Rukun Negara sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Dato' Menteri Besar di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam,  pada 4 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.