Setiap kali langit bertukar kelabu dan jarak penglihatan merosot, kita tahu jerebu kembali melanda negara.
Fenomena yang dahulu dianggap bermusim kini semakin kerap berlaku. Ia bukan sekadar gangguan pemandangan atau bau asap tetapi mencetuskan dampak kesihatan serta sosial yang jauh lebih serius.
Ketika ini, negara mengalami musim Monsun Barat Daya dengan cuaca panas dan kering menyebabkan keadaan jerebu bertambah teruk.
Jerebu terbentuk apabila partikel halus dan bahan pencemar seperti karbon monoksida, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan ozon berkumpul dalam udara.
Kebiasaannya, fenomena itu berpunca daripada pembakaran terbuka, pembakaran hutan untuk tujuan pertanian, pelepasan asap industri dan pencemaran kenderaan bermotor.
Di sebalik pemandangan kelam itu, tersembunyi ancaman senyap yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.
Perunding Perubatan Dalaman dan Perubatan Respiratori Hospital Pakar Ampang Puteri (KPJ Ampang Puteri) Dr Nurashikin Mohammad menjelaskan ancaman utama ketika jerebu datang daripada zarah halus dikenali sebagai PM2.5.
Zarah mikro itu berupaya menembusi sistem pertahanan tubuh, masuk jauh ke dalam paru-paru dan terus ke saluran darah.
“Ini bukan isu remeh. Zarah-zarah halus ini boleh mencetuskan asma, serangan jantung dan jangkitan paru-paru,” katanya.
Pendedahan kepada udara tercemar secara berterusan boleh memburukkan masalah pernafasan dan meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan juga barah paru-paru.
Golongan paling berisiko ialah bayi, kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung.
Sebagai langkah berjaga-jaga Dr Nurashikin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU). Sekiranya IPU melebihi 100, elakkan aktiviti di luar.
"Jerebu bukan sekadar gangguan cuaca. Ia boleh menjadi pencetus krisis kesihatan yang lebih serius jika diambil mudah.
"Lindungi diri dan keluarga dengan langkah pencegahan yang betul. Kesihatan bukan sesuatu yang boleh diganti. Ambil tindakan sebelum terlambat," katanya.
Bila perlu waspada?
jika IPU lebih 100, elakkan aktiviti luar
jika IPU lebih 150, golongan berisiko perlu kekal di rumah
Lindungi diri:
pakai pelitup N95 bila di luar
tutup pintu dan tingkap
guna mod kitaran udara dalam kenderaan
banyak minum air kosong
makan makanan berkhasiat, ambil vitamin C
pesakit asma perlu bawa inhaler setiap masa
dapatkan rawatan segera jika gejala teruk
jika mampu, pasang penapis udara
jaga kebersihan diri
elak bersenam di luar
mandi selepas keluar
Langkah tambahan:
elak pembakaran terbuka
kurangkan aktiviti fizikal berat
kerap mandi
elak pakaian tebal, ketat
Usaha kerajaan persekutuan:
aktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan pada 21 Februari
Jabatan Alam Sekitar (JAS) aktifkan Prosedur Tetap Operasi bagi laksana program cegah kebakaran di tanah gambut pada 26 Februari
JAS pantau kualiti udara guna 52 stesen seluruh negara
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 1998) kawal pencemaran udara
Langkah segera Kerajaan Selangor:
tingkat rondaan pemantauan darat
guna dron di kawasan berisiko terbakar
keluar surat arahan kepada pihak berkuasa tempatan, pemilik ladang kawal dan cegah kebakaran
aktifkan tatacara operasi piawai pencegahan kebakaran tanah gambut
laksana operasi cegah pembakaran terbuka di kawasan tumpuan