ad

Nak lenyek, nak bunuh? Pengayuh basikal jawab kecaman warganet

4 Ogos 2025, 2:16 AM
Nak lenyek, nak bunuh? Pengayuh basikal jawab kecaman warganet
Nak lenyek, nak bunuh? Pengayuh basikal jawab kecaman warganet

SHAH ALAM, 4 OGOS: Di tengah perdebatan isu keselamatan dan kehadiran pengayuh basikal, dua pengayuh tegar menyeru masyarakat lebih memahami realiti berbasikal di Malaysia, bukan terus melabel atau menghukum hanya kerana segelintir yang tidak bertanggungjawab.

Mohd Radzi Jamaludin, 54, yang aktif berkayuh sejak kecil menyeru agar ikon sukan dan pengayuh kebangsaan turun padang bersama merasai pengalaman berkayuh di jalan awam tanpa iringan atau pengiring keselamatan.

"Kita perlukan ikon yang boleh jadi suara sebenar untuk kami di jalan. Mungkin bila mereka rasai sendiri, mereka lebih faham dan boleh sampaikan mesej sekali gus ubah persepsi negatif terhadap komuniti berbasikal," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Radzi turut menekankan pentingnya pengiktirafan kepada pengayuh biasa yang tidak mencari publisiti, namun terus mengamalkan keselamatan dan berhemah di jalan.

Mengulas perdebatan yang berlaku, Radzi menyeru masyarakat agar tidak terus melabel semua pengayuh secara pukul rata hanya kerana segelintir yang tidak berhemah dan menegaskan tindakan seperti itu wajar ditangani melalui penguatkuasaan undang-undang, bukan kebencian terbuka.

Orang ramai yang hadir bertanyakan soalan kepada ketika Sesi Town Hall Jalan Raya Bukan MIlik Geng Basikal di IWK Eco Park, Kuala Lumpur pada 20 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Kepada mereka yang tulis di media sosial nak lenyek, nak bunuh, yang panggil kami babi, lembu. Ingat, kita semua manusia. Gunakan akal, bukan emosi.

"Kalau undang-undang kata semua ada hak guna jalan raya, maksudnya semua boleh guna. Yang membezakan ialah cara kita menggunakan hak itu. Itu terpakai kepada pengayuh dan juga pengguna jalan lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Amin, 44, yang mula berbasikal jarak jauh sejak tujuh tahun lalu berkongsi pengalaman pernah dihimpit sebuah bas Rapid KL meskipun berkayuh secara berhemah di tepi jalan empat lorong di pusat bandar Kuala Lumpur sekitar 2021.

"Kami tak berada di tengah jalan pun, tapi tetap dihimpit. Mungkin sebab ada pemandu yang memang dah sedia marah bila nampak basikal," jelasnya yang turut mengakui kini mula rasa bimbang setiap kali keluar berkayuh, terutama selepas insiden-insiden tular membabitkan pengayuh dan pemandu kenderaan.

Menurutnya, persepsi negatif sering timbul hanya kerana tindakan segelintir pengayuh yang tidak berdisiplin, lalu menyebabkan semua pengayuh dihukum secara pukul rata.

"Dalam kumpulan besar, ada yang jadi terlalu yakin seolah-olah kebal dan ambil ruang jalan lebih besar atau buat aksi yang berisiko. Walaupun hanya segelintir, tindakan begitu beri kesan besar pada persepsi terhadap semua pengayuh.

"Hanya kerana satu hingga dua peratus yang tidak jaga kelakuan, semua pengayuh terus kena label. Kami yang lain pun ada kereta dan motor, jadi kami faham juga situasi jalan raya," katanya.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya pengayuh memilih laluan yang selamat dan sentiasa mengambil langkah keselamatan seperti berkayuh dalam garisan putih, memberikan isyarat kepada pemandu, serta memberi ruang kepada kenderaan berat bila perlu.

Orang ramai yang hadir bertanya soalan kepada panel ketika Sesi Town Hall Jalan Raya Bukan MIlik Geng Basikal di IWK Eco Park, Kuala Lumpur pada 20 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kedua-dua mereka sepakat bahawa isu konflik jalan raya bukan semata-mata salah pengayuh atau pemandu, tetapi perlukan sikap saling menghormati dan kepekaan bersama.

"Kalau nak memotong pengayuh, jarakkan sedikit. Kami tahu jalan ini dikongsi bersama. Pengayuh pun perlu peka dan rehat kalau sudah penat," tambah Amin.

Perdebatan mengenai kehadiran pengayuh basikal di jalan raya kembali hangat susulan insiden pergelutan antara sekumpulan pengayuh dan seorang pemandu bas di Jalan Bestari Jaya, Kuala Selangor yang tular awal Julai lalu.

Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet dan masyarakat umum apabila ada yang mempertikaikan tindakan pengayuh yang dikatakan mengganggu laluan, manakala sebahagian mempertahankan hak sebagai pengguna sah jalan raya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.