SHAH ALAM, 4 OGOS: Pindaan terhadap akta sedia ada bagi menangani taktik licik warga asing yang menggunakan nama rakyat tempatan penting bagi mengelak penyalahgunaan termasuk perbuatan ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada mereka.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin mencadangkan, pindaan itu jika dilaksanakan kelak, perlu mengenakan syarat permohonan lesen yang lebih ketat supaya tiada ruang salah guna lesen untuk kepentingan warga asing.
“Mungkin boleh disyaratkan, jika mohon lesen perlu ada maklumat pasangan juga (jika berkahwin) kerana sekarang ini tidak disyaratkan begitu, hanya perlu maklumat pemohon sahaja. Atau jika didapati berlaku salah guna lesen, pemilik boleh disenarai hitam, contohnya setahun tidak boleh memohon.
“Memang ada isu ini, kita pun ada terima banyak aduan. Bila kita datang buat pemeriksaan di premis perniagaan, memang dia ada dokumen sah. Cuma walaupun ada dokumen sah, tapi jika yang bertugas di kaunter bukan warganegara pihak majlis akan ambil tindakan dengan setakat ini sembilan lesen dibatalkan atas kesalahan itu,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas cadangan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim yang menyarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbang pindaan sedia ada bagi menangani taktik licik warga asing menggunakan nama rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan.
Menurut Suee Lim antara taktik biasa digunakan termasuk berkahwin dengan warga tempatan dan menggunakan nama isteri atau rakan rakyat Malaysia untuk mendaftar lesen namun perniagaan diuruskan warga asing.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pindaan undang-undang lebih tegas perlu bagi memastikan peniaga mematuhi syarat pemilikan lesen perniagaan.
“Kita menyokong sangat kalau ada usaha itu. Isu sekarang sebab ada berlaku penyalahgunaan dan contohnya diambil kesempatan oleh warga asing untuk berniaga menggunakan nama isterinya.
“Setakat ini tidak ada lagi peraturan undang-undang yang tidak membenarkan warga asing menggunakan nama isteri ataupun suaminya untuk mendapatkan lesen ini. Jadi jika ada pindaan ke atas akta, ia hendaklah menghalang daripada menggunakan nama isteri ataupun suami warganegara,” katanya.
Tambahnya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan lesen perniagaan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
“Saya minta jabatan saya untuk mengadakan pemeriksaan atau operasi secara berkala. Paling tidak pun sebulan sekali terutama di kawasan panas.
“Saya nak pastikan kawasan panas ini bebas daripada warga asing yang menggunakan lesen tempatan bagi mengelak perbuatan ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada mereka,” katanya.