ad

Kurangkan beban kerja sekolah

3 Ogos 2025, 1:09 PM
Kurangkan beban kerja sekolah

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pengabaian emosi pelajar dengan lambakan kerja sekolah hingga perlu disiapkan di rumah mengakibatkan mereka hilang keseronokkan belajar dan hadir ke sekolah, kata presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Nasional.

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan menegaskan amalan tersebut hanya memperlihat sisten pendidikan di negara ini lebih mementingkan pencapaian akademik semata-mata.

"Dari situ bermulalah episod kemurungan. Jika tidak dibendung boleh membawa kepada masalah kesihatan mental, buli dan salah guna dadah. Paling kita bimbangi, kes bunuh diri.

"Ibu bapa dan guru perlu mewujudkan suasana harmoni sama ada di sekolah mahupun rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Bagi mengatasi tekanan belajar, beliau turut mencadangkan pendekatan pendidikan yang lebih empati dengan mengambil kira minat serta kecenderungan pelajar.

Selain itu, Dr Mohamad Ali berkata, komunkasi antara ibu bapa, guru dan pelajar juga boleh diperkukuh menerusi kerjasama dengan alumni yang bertindak sebagai pembimbing generasi muda.

“Jika silibus dirasakan terlalu ketat, bincanglah dengan pelajar dan cari penyelesaian bersama. Bukan hanya serah kerja atau tugasan secara bulat-bulat tanpa bimbingan.

"Mungkin ada yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi berbakat dalam kemahiran atau sukan. Jadi perlu beri perhatian sewajarnya," katanya.

Kes berpunca tekanan belajar:

24 September 2014

Pelajar tingkatan tiga cuba bunuh diri akibat tekanan jiwa berpunca daripada masalah pembelajaran. Mangsa ditemui lemah di kediamannya di Limbang, Sarawak selepas makan sejenis ubat

26 Ogos 2019

Pelajar tingkatan satu gantung diri dalam bilik air rumahnya di Jalan Paya Terubung, Pulau Pinang dipercayai tertekan dengan bebanan kerja sekolah

27 April 2021

Pelajar perempuan berusia 15 tahun dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas hiris lengan di rumahnya di Kelana Jaya akibat tekanan pembelajaran

18 November 2021

Polis siasat kes pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah di Kulai, Johor cedera selepas cuba bunuh diri. Kejadian berlaku selepas pelajar itu selesai duduki peperiksaan

19 November 2024

Pelajar perempuan tingkatan dua ditemui maut terjatuh dari koridor tingkat lapan sebuah sekolah menengah di Jelutong, Pulau Pinang. Dia tinggalkan nota alami tekanan belajar

12 Jun 2025

Seorang guru wanita, 51, dan anak lelakinya, 21, ditemui mati disyaki dibunuh anak keduanya. Motif kejadian disebabkan dendam kerana mangsa didakwa sering memarahi suspek dan memaksanya ulang kaji pelajaran

Cara atasi tekanan:

  • tonton filem, rancangan TV atau podcast yang boleh buatkan anda ketawa

  • minum teh herba atau coklat panas untuk tenangkan jiwa

  • mandi boleh bantu legakan tekanan

  • memasak

  • tidur cukup sepanjang musim peperiksaan

  • elakkan lakukan ‘bedah siasat’ peperiksaan

  • tuliskan semua yang anda rasa perlu lakukan

Sumber: Facebook Public Health Malaysia

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.