ad

Tinggal lebih sebulan, warga China ditahan di Bukit Kayu Hitam

3 Ogos 2025, 12:18 PM
Tinggal lebih sebulan, warga China ditahan di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR, 3 OGOS: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan seorang lelaki warga China yang disyaki tinggal lebih masa ketika cuba keluar dari Malaysia ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berusia 39 tahun itu ditahan 1 tengah hari ketika pemeriksaan dokumen rutin.

“Pemeriksaan Imigresen terhadap pasport suspek menunjukkan kemasukan terakhirnya ke Malaysia direkodkan pada 30 Mei lalu di Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor.

“Endosmen Pas Lawatan Sosial suspek didapati telah tamat tempoh dan tiada endosmen keluar dari Thailand yang menandakan dia kekal berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan iaitu selama 34 hari,” katanya.

AKPS memaklumkan suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

“AKPS menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing yang berada di Malaysia untuk sentiasa peka dengan tarikh luput pas mereka dan mengambil tindakan sewajarnya untuk melanjutkan pas atau meninggalkan negara sebelum tempoh berakhir bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

“Penangkapan ini menyerlahkan usaha berterusan AKPS untuk memastikan peraturan Imigresen dan keselamatan sempadan terus dipelihara,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.