SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan digesa untuk menguatkuasakan pensijilan Sirim dengan ketat terhadap produk elektrik yang dijual dalam talian, berikutan kebimbangan mengenai lambakan barangan tanpa sijil dan berpotensi berbahaya, terutamanya barangan import, di pasaran.
Menurut Persatuan Pengguna Standard Malaysia (Standards Users), sebuah gabungan kepada Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), walaupun Sirim memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan daripada bahaya seperti terlalu panas, kebakaran dan kejutan elektrik, penjualan produk tanpa sijil, termasuk power bank, pengecas dan peralatan dapur, masih berleluasa di platform e-dagang.
“Di Malaysia, banyak peralatan murah yang dijual secara dalam talian tidak melalui pemeriksaan keselamatan Sirim. Sebagai contoh, pembersih vakum tanpa sijil Sirim boleh berharga serendah RM44, manakala yang mempunyai sijil berharga RM157.
“Barangan tanpa sijil ini berisiko dan boleh membahayakan,” kata Setiausaha Agung Standards Users, Saral James Maniam kepada Media Selangor.
Beliau berkata ketika ini hanya segelintir penjual yang menyertakan bukti pensijilan Sirim dalam senarai produk mereka.
“Peraturan ini seharusnya dikenakan kepada semua penjual, termasuk yang berada di luar negara. Platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada perlu memeriksa setiap penjual dan memastikan semua produk, sama ada tempatan atau import, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang diperakui.
“Bagi barangan import, platform perlu mengesahkan pematuhan kepada piawaian antarabangsa yang diiktiraf seperti ISO 8124 untuk keselamatan mainan, IEC 60335 untuk keselamatan peralatan rumah, dan piawaian setara IEC lain, selain daripada pensijilan tempatan seperti Sirim,” kata Saral.
Piawaian ISO ialah dokumen yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa yang menetapkan keperluan konsisten bagi memastikan produk, proses atau perkhidmatan sesuai untuk digunakan. Sementara itu, piawaian IEC ialah garis panduan sukarela yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa untuk teknologi elektrik dan elektronik.
Kenyataan beliau hadir ketika pasaran e-dagang Malaysia berkembang pesat, dengan transaksi dalam talian mencecah RM1.12 trilion pada 2022 berbanding hanya RM398.2 bilion pada 2015.

Menurut Jabatan Perangkaan, 70.6 peratus rakyat Malaysia membeli barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang pada 2023, berbanding 70.4 peratus pada 2022 dan 64.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Cubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada platform e-dagang utama Malaysia, termasuk Shopee, Lazada, dan TikTok Shop, mengenai prosedur dan keperluan keselamatan produk mereka tidak berjaya ketika laporan ini ditulis.
Lakukan audit, sediakan pampasan
Bagi melindungi pengguna dengan lebih baik, Saral mengesyorkan platform e-dagang menjalankan audit secara rawak, melabelkan produk bertauliah dengan jelas, dan mengeluarkan senarai produk yang gagal pemeriksaan keselamatan.
Beliau juga mencadangkan platform ini menyediakan pampasan sekiranya produk tanpa sijil menyebabkan kecederaan atau kerosakan.
“Jika produk tanpa sijil menyebabkan kecederaan, kebakaran atau kerosakan harta benda, penjual mesti dipertanggungjawabkan. Namun, jika penjual berasal dari luar negara atau tidak dapat dihubungi, platform perlu membantu pembeli mendapatkan bayaran balik atau pampasan.
“Platform memperoleh keuntungan daripada jualan ini, jadi mereka juga patut membantu apabila berlaku masalah.
“Standards Users percaya platform dan penjual perlu diwajibkan mempunyai insurans atau menubuhkan dana untuk melindungi pengguna sekiranya berlaku kecederaan atau kerugian kewangan akibat produk rosak,” kata Saral.
Beliau turut menyorot kelemahan dalam dasar kastam Malaysia, di mana barangan bernilai bawah RM500 dikecualikan daripada cukai dan pemeriksaan keselamatan di bawah peraturan de minimis, membolehkan produk tanpa sijil memasuki negara melalui kurier tanpa kelulusan Sirim.
Peraturan de minimis dalam dasar kastam Malaysia mengecualikan barangan dengan nilai Kos, Insurans dan Fret sebanyak RM500 atau kurang setiap penghantaran daripada duti import dan pemeriksaan keselamatan tertentu.
Peraturan ini terpakai terutamanya untuk import melalui kurier udara dan perkhidmatan pos, bukan penghantaran jalan atau laut, dan hanya kepada barangan yang tidak disenaraikan di bawah Perintah Kastam (Larangan Import) 2023 atau tertakluk kepada cukai eksais atau jualan.
Saral menggesa pihak berkuasa menutup jurang ini dengan mewajibkan semua elektronik import, tanpa mengira nilai, untuk disijilkan, serta meningkatkan kerjasama antara kastam, agensi penguatkuasaan dan platform dalam talian bagi menyekat barangan berbahaya.
Beliau berkata Malaysia perlu mencontohi negara seperti Australia, Singapura, dan United Kingdom dalam menguatkuasakan piawaian keselamatan e-dagang yang ketat.
“Malaysia harus mengambil langkah serupa dengan menjalankan audit produk secara rawak dan pemantauan ke atas platform, memperketat kawalan sempadan untuk import tanpa sijil, mengenakan penalti terhadap penjual berulang yang tidak patuh, dan memastikan penjual mempunyai insurans liabiliti untuk kategori produk berisiko tinggi.
“Tindakan sebegini akan mengurangkan risiko dan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap pasaran dalam talian,” kata Saral.