ad

EXCO: Tarif air Selangor diselaras demi perkhidmatan berkualiti

3 Ogos 2025, 5:09 AM
EXCO: Tarif air Selangor diselaras demi perkhidmatan berkualiti
EXCO: Tarif air Selangor diselaras demi perkhidmatan berkualiti
EXCO: Tarif air Selangor diselaras demi perkhidmatan berkualiti

SEPANG, 3 OGOS: Pelarasan tarif air baharu di Selangor tidak akan membebankan rakyat sebaliknya memberi perkhidmatan lebih baik pada masa depan, maklum EXCO kerajaan tempatan.

Dato’ Ng Suee Lim berkata penyelarasan membolehkan kerja penyelenggaraan dan penukaran paip dapat dibuat sekali gus membekalkan air berkualiti buat pengguna.

“Air sangat penting untuk kehidupan seharian jadi dalam konteks penyelarasan adalah bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan tetapi dengan syarat tidak membebankan rakyat.

“Namun Selangor kekal membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang menepati syarat mendapat bekalan air percuma melalui Skim Darul Ehsan (SADE),” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelepasan bendera (flag off) program Selangor Marathon 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Suee Lim turut mencadangkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menganjurkan taklimat khas kepada pihak berkuasa tempatan, sekolah dan pengguna bagi meningkatkan kefahaman mereka berhubung pelarasan tarif air.

“Mereka juga perlu memainkan peranan dengan memberi pendedahan dan didikan kepada anak-anak di sekolah mengenai kepentingan air dan jangan membazir.

“Sebagai contoh, tabiat orang ramai apabila mencuci kereta hingga paip air sentiasa dibuka, ini adalah budaya pembaziran yang perlu dibetulkan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pelarasan tarif air baharu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membolehkan Air Selangor meningkatkan rizab air serta memperkukuh perkhidmatan bekalan kepada rakyat secara menyeluruh.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting dalam ikhtiar pentadbiran negeri mencapai sasaran rizab air 20 peratus menjelang 2030.

Menurut beliau, pelarasan tarif juga membolehkan Air Selangor mempergiat penggantian paip asbestos yang berusia lebih 40 tahun sepanjang 1,600 kilometer dilaksanakan pada kadar 300km setahun bermula tahun ini.

Seiring dengan pertambahan populasi di Selangor, Air Selangor giat membina Loji Rawatan Air baharu di Rasau dan Labohan Dagang 2 dengan kos keseluruhan RM8.15 bilion. Usaha itu dijangka menambah kapasiti air terawat sehingga 2,730 juta liter sehari.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.