SEPANG, 3 OGOS: Lebih 7,000 peserta dari 11 negara membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini pagi tadi sempena Selangor Marathon (SELMAR) 2025 yang dianjurkan Tourism Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata program itu membabitkan lima kategori utama iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km, 5km dan Kids Dash.
“SELMAR merupakan acara kemuncak yang dianjurkan Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bersama SIC.
“Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan medal sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan sesi pelepasan bendera (flag off) SELMAR di SIC. Hadir sama Yang Dipertua MPSepang Dr Ani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.
Suee Lim menambah penganjuran SELMAR mengukuhkan potensi pelancongan sukan di negeri ini sebagai destinasi pilihan pelawat.
“Ia juga membuktikan keupayaan Selangor dalam menganjurkan acara berskala besar sempena TMS2025,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan jumlah transaksi mencecah RM11.7 bilion sempena TMS2025.
Kempen TMS2025 menyasarkan lebih 60 program dan acara dengan promosi memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.