PETALING JAYA, 2 OGOS: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menyerahkan 248 notis pengosongan kepada penduduk dan pemilik premis yang menceroboh Hutan Simpan Sungai Buloh seluas 47 hektar.
Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) JPNS Mohd Nor Firdaus Rahim berkata penyerahan notis pengosongan kali kedua dan amaran akhir itu dibuat menerusi operasi bersepadu bersama pelbagai agensi, semalam.
“Ada 148 struktur binaan terdiri daripada premis perniagaan, kediaman, unit industri dan lain-lain. Ini adalah fasa terakhir untuk pemindahan peneroka haram.
“Jika mereka ingkar, tindakan akan diambil bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang boleh didenda RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, beliau ditemui selepas operasi penyerahan notis yang turut disertai kira-kira 100 anggota penguat kuasa termasuk pihak polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini.

Notis pemberitahuan yang ditampal di setiap struktur itu mengarahkan pemilik premis mengosongkan kawasan tanah milik JPNS dalam tempoh 30 hari, dengan tarikh terakhir adalah pada 2 September depan.
Dalam operasi selama lebih empat jam itu, sebanyak 40 struktur baharu turut ditemui di dalam kawasan hutan simpan berkenaan yang dipercayai dibina dalam tempoh tiga bulan ini bagi tujuan 'rumah kongsi'.

Dalam pada itu, Mohd Nor Firdaus berkata pihaknya telah melaksana sesi konsultansi dan libat urus dengan penduduk terlibat, termasuk menawarkan unit kediaman di bawah skim Smart Sewa.
Bagaimanapun, katanya, semua tawaran tersebut ditolak dan penduduk enggan berpindah serta mengosongkan kawasan Hutan Simpan Sungai Buloh.
“Dengan tawaran yang kita lakukan, termasuk skim Smart Sewa di Puchong, memang penduduk menolak dan tidak bersetuju dengan tawaran yang dibuat Kerajaan Negeri,” katanya.

Khamis lalu, Media Selangor melaporkan operasi bersepadu membongkar penempatan haram warga asing di Hutan Simpan Sungai Buloh yang dipercayai telah bertapak sejak lebih 20 tahun lalu.
'Rumah kongsi' yang dipercayai wujud sejak puluhan tahun lalu disewakan warga tempatan di atas tapak yang dibina secara haram pada sewaan serendah RM300.

Berikut kronologi usaha JPNS untuk membersihkan Hutan Simpan Sungai Buloh:
1 Disember 2024:
Rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) bagi urusan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) serta penyelarasan tindakan penguatkuasaan di kawasan tersebut
2 Disember 2024:
JPNS mengeluarkan notis pemberitahuan pengosongan yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2024
28 Januari 2025:
Sesi libat urus bersama penduduk/peneroka tanpa izin dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi penawaran skim Smart Sewa kepada penduduk. Tawaran ditolak
22 April 2025:
Sesi libat urus bersama penduduk bagi bancian struktur binaan serta ternakan dan pemakluman berkaitan pengosongan kawasan Hutan Simpan Sungai Buloh.
20 Jun 2025:
Sesi libat urus bersama penduduk untuk penawaran Skim Smart Sewa Rumah Selangorku oleh LPHS. Tawaran ini ditolak sekali lagi.
16 Julai 2025:
Sesi libat urus bersama pengusaha tapak semaian (nurseri) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk berpindah ke kawasan baharu dan mengosongkan kawasan sedia ada.
1 Ogos 2025:
Notis peringatan terakhir bagi pemberitahuan pengosongan pendudukan rumah, premis perniagaan, unit industri, tapak semaian dan lain-lain struktur yang berkuatkuasa sehingga 2 September ini.