ad

Selangor keluar pekeliling kibar Jalur Gemilang

2 Ogos 2025, 9:29 AM
Selangor keluar pekeliling kibar Jalur Gemilang
Selangor keluar pekeliling kibar Jalur Gemilang
Selangor keluar pekeliling kibar Jalur Gemilang

SEKINCHAN, 2 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengeluarkan pekeliling mengenai kibar Jalur Gemilang kepada semua pihak berkuasa termpatan (PBT) di negeri ini dalam masa terdekat, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Dato’ Ng Suee Lim berkata arahan itu meliputi premis kerajaan, pihak berkepentingan, agensi termasuk lantikan politik kerajaan negeri, ahli majlis, Pusat Wanita Berdaya (PWB), Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Ketua Komuniti India (KKI).

"Semangat patriotik sangat penting. Oleh sebab itu, perlu ada penggerak bagi mencetuskan semangat berkenaan. Kita perlu menghayati, kenang jasa pemimpin terdahulu dalam proses pembinaan negara termasuk jasa pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Bukan mudah untuk sebuah negara kecil yang duhulunya tidak dikenali, sekarang mulai bangkit sebagai satu kuasa yang disegani. Harus kita pertahan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang di sini hari ini.

Suee Lim berkata ketua kampung dan persatuan rukun tetangga juga perlu bergerak senada dengan kerajaan negeri untuk bersama-sama memastikan Jalur Gemilang berkibar di seluruh halaman dan pelusuk kampung di Selangor.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian mengibar Jalur Gemilang sempena pelancaran bulan kebangsaan dalam majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di SMK Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam masa sama, Suee Lim turut menyeru guru-guru di negeri ini memainkan peranan penting untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda bagi menjamin kesinambungan kemerdekaan dipertahankan.

"Kita tidak mahu rakyat di negara ini hanya duduk dalam keadaan aman sejahtera tetapi mereka tidak faham atau tiada jiwa untuk sayangkan negara," katanya.

Terdahulu, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan menerima kunjungan hampir 100 penunggang motosikal bagi acara Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor.

Sekinchan ialah lokasi ketiga persinggahan konvoi berkenaan selepas Dataran Bandar Baru Salak Tinggi dan Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor berakhir di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak sebelum baton kembara diserahkan kepada pasukan konvoi dari Perak untuk peringkat seterusnya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.