ad

LUAS: Tiada insiden henti tugas LRA setakat Julai, pemantauan 24 jam berkesan

2 Ogos 2025, 8:51 AM
LUAS: Tiada insiden henti tugas LRA setakat Julai, pemantauan 24 jam berkesan
LUAS: Tiada insiden henti tugas LRA setakat Julai, pemantauan 24 jam berkesan
LUAS: Tiada insiden henti tugas LRA setakat Julai, pemantauan 24 jam berkesan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Tiada insiden henti tugas loji rawatan air (LRA) di Selangor direkodkan berlaku pada tahun ini sehingga 31 Julai, kata Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Dr Mohmad Asari Daud.

Beliau berkata perkara itu susulan keberkesanan tindakan rondaan dan pemantauan serta intensif digerakkan LUAS, meliputi lebih banyak kawasan yang dikenal pasti berpotensi memberi risiko kepada sumber air.

Mohamad Asari berkata ekoran itu, lebih banyak insiden pencemaran berjaya dikesan dengan lebih awal dan ditangani segera oleh LUAS tanpa gangguan kepada LRA.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Ir Dr Mohmad Asari Daud berucap sempena sambutan Hari Air Sedunia peringkat Selangor di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Melalui pemantauan 24 jam secara berfokus di kawasan sensitif sumber air negeri, tiada insiden henti tugas LRA direkodkan berbanding 15 kes (henti tugas LRA) yang direkodkan pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan bagi Program Sambutan Hari Air Sedunia 2025 peringkat negeri Selangor di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Terdahulu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat bagi merasmikan sambutan program berkenaan.

Turut hadir Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Pada majlis berkenaan, Tengku Amir Shah berkenan merasmikan maskot Hari Air Sedunia 2025 peringkat negeri itu yang dipanggil Sumaita.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan maskot Hari Air Sedunia 2025 peringkat Selangor di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Baginda berkenan untuk melawat reruai pameran agensi kerajaan dan swasta sebelum berangkat pulang.

Program Sambutan Hari Air Sedunia 2025 peringkat negeri Selangor bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai badan dan agensi yang terlibat serta bertanggungjawab dalam hal berkaitan air di negeri berkenaan.

Selain itu, ia disasarkan untuk meningkatkan keprihatinan masyarakat tentang kawasan sumber air yang dijaga bersama dalam memberi faedah dan pulangan kepada komuniti.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.