SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebuah ladang ternakan ayam tanpa lesen di Jalan Batu Bata Off Jalan Raja Abdullah, Jeram diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), kelmarin.
Menerusi kenyataan, MPKS memaklumkan operasi dilakukan susulan aduan penduduk setempat yang sering mengalami gangguan lalat sehingga menjejaskan kehidupan dan keselesaan harian mereka.
“Kehadiran serangga yang membawa penyakit ini bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan malah meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan makanan dan persekitaran.
“Satu notis memberhentikan perniagaan dikeluarkan dan operasi ladang tersebut diarahkan ditutup serta-merta selain penyitaan pelbagai peralatan berkaitan operasi ladang turut dilakukan,” katanya di Facebook.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan satu kompaun mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan membiarkan premis dalam keadaan kotor dan tidak diselenggara dengan baik.
Struktur bangunan juga didapati dibina tanpa kelulusan pelan bangunan yang sah selain pemilik premis gagal mengemukakan permohonan menyebabkan notis dan tawaran kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 121(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga menahan seramai sepuluh lelaki warga Bangladesh yang bekerja di ladang terbabit tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.