ad

Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028

2 Ogos 2025, 7:37 AM
Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028
Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028
Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028
Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028

SUBANG JAYA, 2 OGOS: Kerajaan Selangor menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman mampu milik menjelang 2028 sebagai ikhtiar menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah memberitahu setakat ini lebih 76,000 unit telah siap dibina di Selangor bagi membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa pada harga mampu milik.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Majlis Pemulangan Prinsipal Kepada Pembeli Projek Rumah Selangorku Residensi Jaya di Mines Beach Resort Hotel & Wellness, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 2 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kita menyahut saranan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) baru-baru ini untuk membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.

“Sekarang di Selangor kita sudah bina lebih 76,000 unit dan saya yakin kita akan dapat capai sasaran itu dengan tempoh berbaki tiga tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan pemulangan bayaran prinsipal kepada pembeli Rumah Selangorku Residensi Jaya di sebuah hotel di Seri Kembangan, di sini.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah (tengah) bergambar bersama 206 pembeli Rumah Selangorku Residensi Jaya ketika majlis penyerahan pemulangan bayaran prinsipal di Mines Beach Resort Hotel & Wellness, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 2 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Turut hadir, Timbalan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan serta Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

Dalam pembentangan RMK-13 Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035.

Inisiatif itu akan dilaksanakan melalui pelbagai program sedia ada termasuk Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah serta Program Perumahan Mampu Milik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.