ad

Program U-PLATS lonjak pendapatan usahawan kopi, raih RM60,000 tempoh empat bulan

2 Ogos 2025, 3:30 AM
Program U-PLATS lonjak pendapatan usahawan kopi, raih RM60,000 tempoh empat bulan

KLANG, 1 OGOS: Usahawan jenama Kopi Opu, mencatat peningkatan jualan sehingga 50 peratus selepas menyertai program di bawah Platform Selangor (PLATS) sekali gus mengukuhkan perniagaannya.

Menurut Kartinie Ramli, penyertaan dalam program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) Digital pada 2023 membuka peluang baharu untuk memajukan perniagaan secara lebih tersusun dan moden.

Dalam tempoh empat bulan selepas menyertai U-PLATS, kiosk yang beroperasi di Dataran Shah Alam, Seksyen 14, berjaya meraih jualan hingga RM60,000.

“Kalau hujung minggu, dulu kita boleh dapat dalam RM500 hingga RM600 satu hari, tapi sekarang ini kita sudah boleh dapat lebih RM1,000 satu hari.

“Saya rasa dalam satu bulan itu boleh dapat RM15,000 ke atas,” kata penerima Anugerah Utama Usahawan Mikro pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan plak penghargaan yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, malam tadi. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.

Beliau turut merancang untuk mengembangkan perniagaan secara francais dan dalam proses memohon pensijilan halal menerusi program disediakan U-PLATS Halal.

“Banyak saya belajar di PLATS antaranya pemasaran, pengurusan akaun dan pendigitalan jualan menerusi sistem Point-of-Sale (POS).

“Jadi ia banyak membantu usahawan untuk memudahkan kerja. Kita tidak perlu catat secara manual,” katanya.

Pada 2023, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperkenal program U-PLATS antaranya bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan.

Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.