Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 2 OGOS: Dua usahawan muda telah memanfaatkan program digitalisasi yang disediakan Platform Selangor (PLATS) untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Mereka mengikuti latihan kemahiran di bawah PLATS untuk mempromosi produk secara digital serta memahami trend pasaran sekali gus meluaskan capaian pelanggan.
Chan Seong Wee, 32, yang menjalankan perniagaan jus buah-buahan, buah potong dan oat menyifatkan PLATS sebagai peluang emas untuk memahami pasaran digital yang sebenar.
“Saya banyak belajar teknik promosi 'online' yang selama ni saya tak tahu. Sekarang saya tahu macam mana nak buat kandungan yang betul, sasarkan pelanggan yang tepat,” katanya.

Penerima Anugerah Usahawan Mikro Muda itu berkata PLATS bukan hanya memberi pendedahan tentang promosi, tetapi juga membantu memahami struktur pasaran dan aliran pelanggan secara strategik.
Menurut Seong Wee, perniagaan kecil sepertinya memerlukan pendekatan baru agar mampu bersaing dalam era digital yang semakin mencabar.

Turut menerima manfaat inisitif PLATS ialah Nur Qistina Darwisya Ahmad Nazim, 25, yang meraih Anugerah Usahawan Mikro Revolusi Teknologi.
“PLATS mengubah trajektori bisnes saya sepenuhnya kerana banyak ilmu saya belajar, bukan sahaja teknik promosi, tapi juga keyakinan untuk ‘scale up’ perniagaan saya,” katanya.
Beliau menyifatkan bengkel PLATS sebagai padat, praktikal dan disesuaikan dengan keperluan usahawan muda yang sedang membina jenama dan platform sendiri.
Nur Qistina turut berhasrat menyertai lebih banyak bengkel dan kolaborasi melalui PLATS, terutamanya untuk menjadikan jenama tempatan mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
