SHAH ALAM, 2 OGOS: Pelarasan tarif air baharu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membolehkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meningkatkan rizab air serta memperkukuh perkhidmatan bekalan kepada rakyat secara menyeluruh.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting dalam ikhtiar pentadbiran negeri mencapai sasaran rizab air sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pelarasan tarif ini perlu supaya langkah-langkah meningkatkan rizab air kepada 20 peratus dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, pelarasan tarif juga membolehkan Air Selangor mempergiat penggantian paip asbestos yang berusia lebih 40 tahun sepanjang 1,600km, dilaksanakan pada kadar 300km setahun bermula tahun ini.
Seiring dengan pertambahan populasi di Selangor, Air Selangor turut giat membina Loji Rawatan Air baharu di Rasau dan Labohan Dagang 2 dengan kos keseluruhan RM8.15 bilion. Usaha itu dijangka menambah kapasiti air terawat sehingga 2,730 juta liter sehari.
Sejak pelarasan tarif air terdahulu pada Februari 2024, beberapa penambahbaikan signifikan telah dicapai oleh Air Selangor:
rizab air meningkat daripada 13.86 peratus kepada 16.74 peratus setakat Jun 2025, membantu negeri menghadapi perubahan cuaca seperti kemarau
732.65km paip lama telah diganti sejak 2018 bagi menjamin kelancaran agihan
kadar air tidak berhasil (non-revenue water, NRW) dikurangkan daripada 27.7 peratus (2024) kepada 27.3 peratus (Jun 2025)
Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri komited memastikan usaha memperkukuh perkhidmatan air tidak membebankan rakyat, termasuk menanggung kos sehingga RM52.7 juta bagi subsidi kepada kumpulan memerlukan serta pengguna rumah ibadat dan institusi kebajikan.