KLANG, 2 OGOS: Usahawan Platform Selangor (PLATS) merekodkan nilai transaksi jualan mencecah kira-kira RM15 juta sepanjang tahun lalu hingga kini, hasil penglibatan aktif menerusi pelbagai medium pemasaran dan saluran digital.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pencapaian itu dicatat menerusi transaksi bazar Ramadan PLATS dengan nilai jualan RM8 juta manakala selebihnya dalam pelbagai platform jualan lain.
Jelas beliau, kejayaan itu hasil bimbingan berstruktur disediakan PLATS seperti pendigitalan perniagaan, sokongan teknologi seperti sistem Point-of-Sale (POS) dan platform pembayaran tanpa tunai.
"Bimbingan in membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan kehadiran dalam talian serta memperluas capaian pasaran dengan lebih strategik,” katanya pada sidang media sempena Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di Hotel Wyndham Acmar, di sini, malam tadi.

Ahmad Azri berkata seramai 100,000 usahawan mikro di Selangor disasar menyertai PLATS menjelang akhir tahun ini, dengan jumlah yang direkodkan setakat ini lebih 88,000.
“Sebenarnya kalau ikut sasaran, tahun ini kita sasarkan 50,000 sertai PLATS dan kini sudah melepasi sasaran pun. Baru-baru ini Dato' Menteri Besar telah memberikan cabaran kepada kami supaya tahun ini cuba capai 100,000.
“Jadi kita ada masa beberapa bulan untuk kami capai dan saya percaya dengan bantuan rakan strategik PLATS, kita akan mampu capai sasaran 100,000,” katanya.
Selain itu, katanya lawatan delegasi Selangor diketuai EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi ke Ekspo Dunia Osaka 2025 baru-baru ini, turut mempromosi produk keluaran usahawan PLATS dan mendapat permintaan.
“Kita ada bawa gula-gula perisa durian pengusaha (PLATS) dan mendapat sambutan. Maknanya produk usahawan PLATS ada potensi besar. Kita sedang belajar dengan PKNS yang sudah bertapak lama dengan perniagaan untuk dibawa masuk ke pasar raya besar di Jepun.
“Selain itu, kita juga akan ke Shanghai pada November untuk memperkenalkan produk usahawan PLATS. Di Timur Tengah turut ada potensi pasaran kerana selain daripada penduduk tempatan, ramai juga rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di sana,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.